Jumaat, 24 April 2020 | 3:40pm
Ezad dan Idayu tampil dengan single baharu, Sampai Syurga yang menjadi runut bunyi drama Korban Kasih di TV1, sepanjang Ramadan. Foto Ihsan Nova Music
Ezad dan Idayu tampil dengan single baharu, Sampai Syurga yang menjadi runut bunyi drama Korban Kasih di TV1, sepanjang Ramadan. Foto Ihsan Nova Music

Ezad, Idayu duet lagi

KUALA LUMPUR: 'Jodoh' antara Ezad Lazim dan Idayu memang kuat.

Pernah tampil dengan lagu Gelora Rindu yang menjadi runut bunyi drama Ombak Rindu The Series, kali ini mereka tampil dengan Sampai Syurga ciptaan Ayden Ali, Firdaus Rahmat dan Mas Dewangga .

Sama seperti Gelora Rindu, Sampai Syurga menjadi runut bunyi drama 30 episod, Korban Kasih lakonan Saharul Ridzwan dan Zara Zya yang disiarkan TV1 sepanjang Ramadan, mulai hari ini.

Ezad yang juga bekas vokalis Exists berkata, peluang berduet dengan Idayu tidak dilepaskan, apatah lagi, permintaan syarikat rakaman, Nova Music yang mahu mereka kembali bergabung.

"Ada perbezaan jelas antara Gelora Rindu dan Sampai Syurga daripada segi genre dan susunan muzik.

"Lagu Gelora Rindu lebih melankolik yang lembut. Single terbaru ini lebih kepada genre pop balada dengan penghayatan dinamik," katanya kepada BH Online.

Selesa menyanyi dengan Idayu, Sampai Syurga dirakam mereka, awal bulan lalu.

"Lagu ini berkisar kisah perhubungan yang sulit dan sukar untuk bahagia. Namun, hanya doa kepada Tuhan yang dipanjangkan.

"Kena hayati dan selami maksud lagu ini jika ingin merasai hati yang bergelut itu," katanya.

Mengenai teman duetnya itu, Ezad yang sudah lebih sedekad bergerak solo, berpendapat Idayu berbakat besar.

"Idayu antara penyanyi wanita terbaik di Malaysia yang memiliki vokal mantap. Jiwa dan 'feel' nyanyiannya cukup tersendiri," katanya memuji juara program realiti, AF MegaStar 2017 itu.

Tambah Ezad, Idayu arif dalam teknik nyanyian bersiul dan memiliki vokal unik.

Sementara itu, Idayu bersyukur Sampai Syurga menarik perhatian penerbit drama.

"Apabila lagu menjadi lagu runut bunyi atau tema naskhah cerita, ia memberi kelebihan promosi berpanjangan selama drama disiarkan.

"Saya serasi dengan Ezad dan mudah bekerjasama dengannya. Lagu ini banyak berbeza berbanding single terdahulu terutama daripada aspek muzikal. Rentak balada lebih moden dan susun atur berskala besar," katanya.

Idayu yang juga pengajar 'vocal style' atau gaya suara sejak dua tahun lalu, menyifatkan Ezad mementingkan kesempurnaan.

"Jadi, tidak hairanlah nyanyiannya seperti suara 'kaset' yang diperkata ramai.

Kami banyak berbincang dan bertukar idea dalam 'mencantikkan' lenggok nyanyian," katanya.

Single Sampai Syurga boleh distrim di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KK Box dan Deezer mulai hari ini.

Video lirik rasmi lagu ini yang boleh ditonton di YouTube Nova Music Videos.

Berita Harian X