Jumaat, 17 April 2020 | 11:00am
Filem Bulan & Pria Terhebat sempat ditayangkan empat hari sebulan dihentikan berikutan penguatkuasaan PKP. Foto IG Filem Bulan & Pria Terhebat
Filem Bulan & Pria Terhebat sempat ditayangkan empat hari sebulan dihentikan berikutan penguatkuasaan PKP. Foto IG Filem Bulan & Pria Terhebat

PFM perjelas dana untuk filem yang sudah ditayang

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengeluar Filem (PFM) menjelaskan bantuan menerusi Skim Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) yang diumumkan kerajaan, semalam, bukanlah dana baharu untuk membantu penggiat filem yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden PFM, Pansha berkata, maklumat itu disahkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebagai agensi yang bertanggungjawab menguruskan pengagihan dana kepada produksi yang layak. Bantuan ini dihulurkan bagi membolehkan penerbit meneruskan usaha menghasilkan filem yang lebih berkualiti pada masa akan datang.

“Saya tahu ramai penerbit filem yang keliru dan menghubungi kami bertanya mengenai skim ITFC yang diumumkan.

“PFM sudah merujuk kepada FINAS dan agensi itu mengesahkan dana bernilai lebih RM1.3 juta itu hanya diberi kepada filem yang sudah ditayangkan, bukan karya yang tidak dapat ditayang atau ditarik balik berikutan pelaksanaan PKP.

“Berdasarkan maklumat diberi, insentif ini akan disalurkan kepada 15 syarikat produksi mengikut hasil kutipan filem terbitan mereka di pawagam.

“Jumlah yang diberi adalah 10 peratus daripada keuntungan kasar diperoleh produksi berkenaan.

“Ini bagi membolehkan penerbit meneruskan usaha menghasilkan filem, sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada banyak pihak terutama mereka yang terbabit dalam bidang ini,” katanya kepada BH Online.

Semalam, kerajaan mengumumkan dana bernilai lebih RM1.3 juta menerusi Skim ITFC kepada penggiat industri kreatif dan seni tempatan yang terjejas sepanjang PKP.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, FINAS akan akan menghubungi penerbit filem yang layak dalam masa terdekat bagi menguruskan pengagihan dana itu.

Memahami masalah penerbit yang karya tidak dapat ditayangkan, Pansha berkata, pihaknya akan berbincang dengan kementerian bagi mencari jalan penyelesaian, minggu depan.

“Persatuan berterima kasih kepada kerajaan kerana peka dengan nasib penggiat seni dan mempercepatkan urusan pengagihan dana ini.

“Kami akan berbincang dengan Saifuddin berhubung masalah dihadapi penggiat filem tatkala berdepan situasi getir ini,” katanya.

Pansha berkata, PFM sudah berbincang dengan pemilik pawagam atau pempamer untuk menyusun semula jadual tayangan bagi filem tertunda.

“Bagi judul yang terhenti tayangan, kita akan merayu pawagam mengadakan ulang tayang filem terbabit.

“PFM prihatin dengan nasib ahli dan kita akan berusaha memastikan kebajikan penerbit dan pembikin filem terjamin,” katanya.

Berita Harian X