Rabu, 15 April 2020 | 3:00pm
Dana Peduli, Kemanusiaan, Prihatin Datuk Seri Siti Nurhaliza diwujudkan bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas. - Foto Instagram Datuk Seri Siti Nurhaliza
Dana Peduli, Kemanusiaan, Prihatin Datuk Seri Siti Nurhaliza diwujudkan bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas. - Foto Instagram Datuk Seri Siti Nurhaliza

Siti wujud dana bantu rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi syarikatnya, Siti Nurhaliza Productions (SNP) mengambil inisiatif membantu rakyat Malaysia yang terjejas dan petugas barisan hadapan.

Menerusi pengumpulan Dana Peduli, Kemanusiaan, Prihatin Datuk Seri Siti Nurhaliza (Dana PKP Siti Nurhaliza), objektifnya dibahagikan mengikut kategori tiga kategori iaitu Peduli, Kemanusiaan dan Prihatin.

Siti berkata, di bawah kategori Peduli, SNP mahu membantu menyediakan keperluan dan peralatan di pusat perubatan yang terbabit menangani COVID-19. Bantuan akan disalurkan segera apabila dana mencukupi bagi penyediaan peralatan perlindungan diri (PPE), topeng muka, sarung tangan dan keperluan lain.

“Di bawah kategori Kemanusiaan, kami ingin membantu individu dan keluarga yang berdepan desakan hidup akibat terjejas pendapatan. Bantuan juga dihulurkan kepada keluarga Orang Kurang Upaya (OKU) dan penyakit kronik.

“Seterusnya, kategori Prihatin dihulurkan khusus sempena Ramadan dan Syawal kepada golongan yang tidak berkemampuan dan badan kebajikan,” kata penyanyi lagu Terang itu.

Sebagai langkah permulaan, SNP mensasarkan pengumpulan dana keperluan segera bagi kategori Peduli sebanyak RM50,000.

“Jumlah sasaran ini akan dinaikkan dan berterusan memandangkan tempoh PKP dilanjutkan dan banyak jenis bantuan akan disalurkan.

“Sumbangan boleh dilakukan dengan menyalurkan ke platform pengumpulan dana Kitafund. Platform Kitafund dibina bagi memupuk nilai murni menderma di samping memudahkan orang ramai untuk menyumbang atas talian tanpa ragu-ragu,” katanya.

Bagi rakyat Malaysia yang berhasrat menyumbang boleh melayari laman web rasmi Kitafund di www.kitafund.com dan pilih kempen Dana PKP Siti Nurhaliza.

Penyanyi lagu Jerat Percintaan itu juga akan muncul dalam YouTube Live PKP Siti Nurhaliza menerusi saluran Siti Official Video pada 19 April ini, jam 2.30 petang.

Berita Harian X