Isnin, 6 April 2020 | 11:00am
Beroleh semangat baharu, Nonny melupakan episod hitam dan mahu kembali aktif dalam bidang seni. Foto IG Nonny Nadirah
Beroleh semangat baharu, Nonny melupakan episod hitam dan mahu kembali aktif dalam bidang seni. Foto IG Nonny Nadirah

Nonny Nadirah buang jauh episod hitam

KUALA LUMPUR: Beroleh kekuatan untuk bangkit semula, pelakon, Nonny Nadirah kembali aktif dengan membintangi drama Luka Di Hati Diya.

Namun, baru dua hari bekerja di lokasi drama terbitan Global Station itu, penggambaran ditangguhkan berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Berkongsi mengenai ‘kehilangannya’, Nonny, 30, mengaku perpisahan dengan bekas suami, Mustain Adnan pada 29 April 2018, meninggalkan kesan besar dalam hidup.

“Secara jujur, perceraian itu memberi impak besar kepada saya. Apatah lagi, kisah saya yang sangat ‘rumit’ di mana ramai orang tidak tahu.

“Ia adalah suatu tempoh yang sukar dan mengambil masa untuk pulih,” katanya kepada BH Online.

Nonny berkata, keadaan bertambah teruk selepas pulang daripada menunaikan umrah, Januari tahun lalu.

“Saya diduga apabila perasaan berbolak-balik. Disebabkan bertarung dengan perasaan sendiri, saya lari dari semua orang, keluarga dan sahabat.

“Malah, saya tidak pulang ke kampung pada Aidilfitri tahun lalu,” katanya.

Nonny atau nama sebenarnya, Nonny Nadirah Zainuddin, 30, mengaku dugaan diterimanya lebih kuat dalam usahanya berhijrah.

“Akhir tahun lalu, saya buat keputusan pulang ke Sabah dan meminta maaf terutama daripada ibu. Saya mula memperbaiki diri dengan dekat kepada Allah.

“Sekarang, alhamdulillah perlahan-lahan saya dapat kekuatan kembali,” katanya.

Bagaimanapun, Nonny tidak menyalahkan perceraian sebagai punca dirinya terumbang-ambing. Baginya, semua sudah ditakdirkan.

“Saya juga manusia yang tidak lari daripada kesilapan. Semua yang terjadi mungkin atas sebab saya. Saya tidak mahu salahkan bekas pasangan atau sesiapa.

“Saya percaya perceraian ini berlaku kerana Allah sayangkan saya. Ada hikmah mengapa perkahwinan bertahan sekejap sahaja.

“Jadi, lebih baik saya perbaiki diri sendiri dengan mendekatkan diri dengan Allah. Ini semua adalah takdir dan saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Nonny mendirikan rumah tangga dengan Mustain pada 18 Mac 2018 di Kota Kinabalu, Sabah, selepas sembilan tahun berkenalan.

Berita Harian X