Jumaat, 13 March 2020 | 8:30am
Fattah tampil dengan single Bebas yang menyuntik semangat mahu berubah, berbeza dengan elemen cinta yang sebelum ini menjadi taruhan dalam lagu. Foto Ihsan Universal Music Sdn Bhd
Fattah tampil dengan single Bebas yang menyuntik semangat mahu berubah, berbeza dengan elemen cinta yang sebelum ini menjadi taruhan dalam lagu. Foto Ihsan Universal Music Sdn Bhd

Fattah Amin bukan lagi 'Mat Cintan'

KUALA LUMPUR: Cukup-cukuplah lagu ‘cintan-cintun’.

Tampil dengan pembaharuan, pelakon dan penyanyi, Fattah Amin melancarkan single baharu berjudul Bebas yang menyubur semangat mahu berubah, dimuat naik di semua platform digital, tengah malam tadi.

Pernah merakamkan empat single antaranya Wanita Terindah dan Isterimewa, Fattah menganggap masanya sudah tiba untuk dia tampil dengan lagu yang mampu menyuburkan semangat pendengar.

“Sampai bila saya mahu terus selesa menyanyi lagu konsep ‘cintan-cintun. Saya mahu pembaharuan dalam seni.

“Saya mahu beralih kepada sesuatu yang boleh memberi manfaat sambil berhibur. Langkah ini mengelak saya daripada statik sebaliknya terus melonjakkan kerjaya seni,” katanya kepada BH Online.

Single Bebas terbitan Universal Music Sdn Bhd, dicipta Rudy Nastia dengan lirik nukilan Leo Azman. Turut dilancarkan, video muzik arahan Thaqif Saadon yang boleh ditonton di YouTube.

Fattah yang juga suami pelakon, Nur Fazura berkata, single Bebas dilancarkan tepat pada masanya ketika rakyat berhadapan pelbagai permasalahan sosial dan cabaran hidup.

“Judulnya sahaja memberi erti kebebasan dan tidak mahu terus terbelenggu dengan perkara negatif.

“Lagu ini ditujukan kepada sesiapa sahaja yang berhadapan masalah sosial termasuk kemurungan. Lagu ini menyuntik motivasi dan membebaskan diri daripada bebanan dan tekanan.

“Pada akhirnya, kita harus yakin dan percaya bahawa bagi setiap permasalahan, pasti ada jalan keluar. Kita masih ada insan di sekeliling, teman atau ahli keluarga yang boleh memberi sokongan,” katanya.

Penerima trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 ini berkata, single Bebas adalah hadiah buat peminat.

“Saya yakin peminat tidak hanya mahu mendengar lagu cinta semata-mata. Peminat saya dalam pelbagai kelompok peringkat umur. Mereka pasti terpalit dengan masalah semasa.

“Jadi, saya sumbangkan sesuatu untuk peminat dan masyarakat demi menaikkan semangat yang hilang,” katanya.

Bintang drama Hero Seorang Cinderella ini mengaku menjadikan isteri sebagai sumber inspirasi dalam menghayati lagu berkenaan.

“Isteri sudah lama menyebar elemen dan aura positif termasuk dalam media sosial. Apabila saya menjadi suami, inspirasi bertambah dekat dalam diri,” katanya.

Fattah berkata, dia terbabit sepenuhnya dalam projek penghasilan single berkenaan.

“Bukan sekadar menyanyi, saya terbabit dengan proses pemilihan melodi dan bunyi. Saya dan komposer Helen Yap, sama-sama duduk berbincang memilih bunyi yang baik.

“Saya juga memberi input dalam menghasilkan video muzik. Saya mencurahkan idea, konsep dan cerita dalam klip video ini.

“Pada mulanya, syarikat produksi ada idea dan jalan cerita sendiri. Tetapi akhirnya, idea saya digunakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fattah sibuk melunaskan penggambaran drama adaptasi novel, Pink Smile karya Luna Adresia. Drama 20 episod yang akan disiarkan slot Lestary TV3 itu menyaksikan dirinya berganding dengan Sweet Qismina.

“Drama ini akan disiarkan Ramadan kelak. Pada masa sama, saya menanti tiga filem untuk ditayangkan tahun ini iaitu Mimaland, Mat Kilau dan Deleted,” katanya.

Single Bebas boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music.

Berita Harian X