Khamis, 12 March 2020 | 1:37pm
Harvey Weinstein. - Foto AFP
Harvey Weinstein. - Foto AFP

Harvey Weinstein dipenjara 23 tahun

NEW YORK: Selepas lebih dua tahun berhadapan tuduhan merogol dan melakukan serangan seksual, Hakim Mahkamah Jenayah New York, James Burke, menjatuhkan hukuman penjara 23 tahun ke atas mogul Hollywood, Harvey Weinstein.

Didakwa hampir 90 wanita merangkumi pelbagai latar belakang termasuk aktres Hollywood kelas A seperti Angelina Jolie dan Salma Hayek sepanjang karier 40 tahun Weinstein dalam industri hiburan, hukuman dikenakan ke atas penerbit filem Shakespeare in Love ini disifatkan era kejatuhannya.

Malah, keputusan ini dianggap kemenangan besar dan pembuka laluan kepada pergerakan #MeToo yang memperjuangkan nasib mangsa rogol dan serangan seksual di seluruh dunia.

Dengan hukuman itu, Weinstein yang bakal meraikan hari jadi ke-68 minggu hadapan, hampir pasti menghabiskan usia tua di belakang jeriji besi, selepas Burke menolak rayuannya untuk dipenjarakan selama lima tahun.

Hakim yang mengenakan hukuman hampir kepada tempoh maksimum 29 tahun yang diperuntukkan undang-undang, tidak berganjak daripada pendirian selepas mendengar keterangan penerbit itu yang dilaporkan tidak menyatakan rasa bersalah, jauh sekali memohon maaf kepada semua mangsa.

“Saya sangat keliru,” kata Weinstein, sebelum menyalahkan gerakan #MeToo yang menentang mana-mana lelaki yang menyalahguna kuasa dan kedudukan ke atas wanita, lapor AFP.

Weinstein menambah:

“Saya adalah contoh pertama dan sekarang, ada beribu-ribu lelaki yang berhadapan tuduhan sama. Saya bimbang dengan negara ini,” katanya yang dilaporkan berhabis daripada nilai kekayaan lebih RM630 juta terkumpul bagi mempertahankan diri daripada dakwaan terbabit, sejak Oktober 2017.

Sementara itu, ‘The Silence Breakers’ iaitu kumpulan 24 individu yang membuat tuduhan terhadap Weinstein merangkumi bintang besar seperti Ashley Judd, Rosanna Arquette dan Rose McGowan, menganggap legasi ditinggalkan penerbit itu adalah kesalahan jenayah rogol.

“Dia akan ke penjara... Tetapi tidak ada tempoh hukuman penjara mampu memulihkan kehidupan yang dimusnahkan, karier yang dihancurkan dan kerosakan lain yang berpunca daripadanya,” kata mereka dalam kenyataan.

Dilaporkan, Weinstein dibawa dari Mahkamah Jenayah Manhattan dengan berkerusi roda manakala enam mangsa yang memberi keterangan termasuk aktres, Annabella Sciorra, berpelukan di tempat duduk.

Sementara itu, orang ramai yang mengikuti perbicaraan penerbit itu, bertepuk tangan sebaik mangsa dan kumpulan pendakwaan keluar dari kamar mahkamah.

Sementara itu, dua lagi mangsa, pelakon, Jessica Man dan penolong penerbit, Mimi Haleyi turut mengeluarkan kenyataan selepas Weinstein dijatuhi hukuman penjara.

Haleyi, 42, mengaku hilang keyakinan diri dan kepercayaan terhadap orang lain selepas mendakwa penerbit itu memaksanya melakukan seks oral pada 2006.

Mann, 34, pula memberitahu, hukuman dikenakan ke atas Weinstein memberinya kekuatan untuk membina semula kehidupan.

Dilaporkan, penerbit itu yang sepanjang karier meraih 300 pencalonan Anugerah Akademi dan memenangi 81 trofi Oscar, dijangka dipenjarakan di luar New York.

Sebaik selepas hukuman dijatuhkan, pihak pendakwaan di Los Angeles dilapor memulakan proses ekstradisi bagi membawa Weinstein menghadapi pertuduhan lain membabitkan jenayah seksual.

Kes membabitkan Weinstein adalah yang paling berprofil tinggi, selepas aktor Bill Cosby didapati bersalah pada 2018 kerana memberi dadah dan menyerang secara seksual seorang wanita, 15 tahun sebelumnya. - AFP

Berita Harian X