Ahad, 1 March 2020 | 1:00pm
Hafiz tidak berkecil hati dengan tindakan netizen mempertikai kejayaan meraih trofi Vokal Terbaik pada AJL34, bulan lalu. Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Hafiz tidak berkecil hati dengan tindakan netizen mempertikai kejayaan meraih trofi Vokal Terbaik pada AJL34, bulan lalu. Foto NSTP/Asyraf Hamzah

'Saya tak kecil hati...'

KUALA LUMPUR: Tidak mampu menghalang kejayaan meraih trofi Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 dipertikaikan, Hafiz Suip sebaliknya mengaku membuat silap ketika beraksi, selain percaya rezeki diatur Tuhan.

Hafiz berkata, dia cuba sebaik mungkin mendendangkan lagu balada, Kisah Cinta Kita biarpun kemenangannya itu dipersoal, malah dibandingkan dengan mutu vokal Ernie Zakri yang turut bersaing.

“Alhamdulillah, saya sudah memberi yang terbaik biarpun ada buat silap ketika menyanyi.

“Namun, kata orang, rezeki tidak pernah salah alamat. Jadi, saya tak mahu ulas banyak, sudah rezeki saya,” katanya kepada BH Online.

Hafiz mengulas gelagat peminat yang mempersoalkan kejayaan meraih trofi Vokal Terbaik pada AJL34. Mereka turut membandingkan mutu vokal Hafiz dengan Ernie yang dikatakan lebih mantap ketika mendendangkan lagu Ku Bersuara.

Pada pertandingan itu, Hafiz yang menampilkan isteri, Nureffy Jasreel Abdullah ketika beraksi, meraih trofi Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik melalui lagu Kisah Cinta Kita ciptaan Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali dengan lirik nukilan Datuk A Aida.

Ini kali keempat Hafiz merangkul trofi Vokal Terbaik di pentas AJL.

Hafiz berkata, dia tidak berkecil hati membaca komen peminat yang mempertikaikan kemenangannya pada malam itu.

“Mungkin kalau dahulu, saya terasa. Sekarang, tidak lagi kerana pengalaman mengajar saya. Bagi saya, ini lumrah dunia artis.

“Setiap orang ada pendirian sendiri. Ada yang suka dan sebaliknya. Kita tidak boleh halang. Itu adat pertandingan, apa yang boleh saya katakan, ini rezeki Allah beri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hafiz yang baru-baru ini menganjurkan majlis kesyukuran sempena menyambut kelahiran anak kedua, memberitahu, dia dan isteri bakal menimang anak lelaki.

“Insya-Allah, kalau diikutkan tarikh diberi doktor, anak kedua saya bakal dilahirkan pada 23 Mac depan.

“Kami sebenarnya tidak sangka bakal menimang cahaya mata kedua. Kami bersyukur dengan rezeki diberi Tuhan,” katanya yang baru melancarkan single Sinar Cinta ciptaan Ikhwan dan Ayden.

Berita Harian X