Isnin, 24 Februari 2020 | 11:00am
Rezeki pelakon, Chacha Maembong melimpah ruah selepas putus cinta. NSTP/Rohanis Shukri
Rezeki pelakon, Chacha Maembong melimpah ruah selepas putus cinta. NSTP/Rohanis Shukri

Chacha bahagia tanpa kekasih

KUALA LUMPUR: Enggan mengulangi kesilapan, pelakon seksi, Chacha Maembong, 24, tidak lagi taksub dengan cinta seorang lelaki. Kerana cinta, kerjaya lakonan yang diperjuangkan sejak remaja hampir menyembah bumi.

Benarlah ungkapan, cinta mampu memberikan kebahagiaan dan kemanisan. Cinta juga boleh membuatkan hati menjadi buta. Akhirnya, kerjaya lakonan Chacha terbiar disebabkan terlalu asyik diulit cinta.

Bukan serik, pelakon drama Pesan Pada Hati itu enggan hanyut dengan cinta yang sia-sia. Kisah cinta dengan seorang DJ bukan beragama Islam selama lima tahun cukup membuatnya tersedar, cinta tidak menjanjikan kebahagiaan. Selama lima tahun, zaman remajanya terbuang dengan perhubungan yang tidak memberikan apa-apa makna.

“Dahulu, saya tidak boleh hidup tanpa cinta seorang lelaki. Tetapi, itu zaman remaja, sekarang saya lebih bahagia dan tenang tanpa terikat dengan hubungan cinta.

"Hingga satu tahap, saya merasakan tidak memerlukan cinta lelaki disisi lagi. Saya mampu mengatur hidup dan kerjaya dengan lebih baik selepas putus cinta sejak setahun lalu.

“Saya tak sunyi, malah makin selesa dengan hidup bersendirian,” katanya kepada BH Online.

Chacha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail Embong berkata, rezekinya juga semakin melimpah ruah hingga tidak menang tangan.

"Saya lihat, ada lagi ramai yang menyayangi dan terima saya seadanya. Alhamdulillah, kerjaya bertambah baik, malah tiada lagi persepsi pelakon yang sedang bercinta membawa masalah.

"Saya akui, percintaan sedikit sebanyak mengganggu kerjaya. Sejujurnya, perasaan cinta tidak sampai membutakan hati saya.

"Saya profesional ketika bekerja, tetapi ada yang takut mengambil saya berlakon. Kesannya, kerjaya saya timbul tenggelam," katanya yang sibuk di lokasi penggambaran drama Bukan Gadis Biasa arahan Azman Yahya atau Jinggo.

Pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Kau Yang Terindah pada 2012 itu berkata, dia tidak memikirkan soal jodoh, usianya pun masih muda.

"Bohonglah, jika tiada lelaki yang mahu mendekati. Ada saja yang melamar untuk dijadikan kekasih tetapi saya menolak secara baik.

"Saya sudah malas memulakan perhubungan baharu. Bosan bercinta bertahun-tahun, akhirnya sia-sia.

"Saya tidak mahu membuang masa jika bertemu jodoh dengan lelaki yang serasi. Jumpa ayah dan terus kahwin. Pengalaman cinta terlerai di tengah jalan membuatkan hati menjadi sekeras kerikil. Saya juga tidak terdesak mahu berkahwin," katanya.

Berita Harian X