Khamis, 20 Februari 2020 | 1:00pm
Pelakon, Syafie Naswip dan Aishah Azman pernah mengikat tali pertunangan tahun lalu, tetapi terlerai tiga bulan kemudian. NSTP/Rohanis Shukri
Pelakon, Syafie Naswip dan Aishah Azman pernah mengikat tali pertunangan tahun lalu, tetapi terlerai tiga bulan kemudian. NSTP/Rohanis Shukri

Syafie, Aishah kembali 'follow' IG?

KUALA LUMPUR: Pelakon, Syafie Naswip, 28, sudah melupakan persengketaan yang berlaku antaranya dengan bekas tunang, Aishah Azman.

Malah, Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin Ke-11 itu sudah kembali mengikuti akaun Instagram (IG) bekas tunangnya itu. Begitu juga Aishah, melakukan perkara yang sama.

“Alhamdulillah, luka kontroversi putus cinta sudah sembuh sepenuhnya. Memasuki 2020, perasaan saya sangat okay. Saya tidak lagi menyimpan perasaan marah padanya. Saya tiada masalah mahu menegurnya andai ditakdirkan bertemu dalam mana-mana acara.

“Saya tidak kisah sekiranya ditawarkan berkerja sama dalam satu produksi. Tetapi, perlu melihat skrip terlebih dahulu. Saya akan terima sekiranya jalan cerita dan skrip menarik.

“Entahlah, sebaik memasuki tahun baharu, hati menjadi lebih tenang. Mungkin juga faktor usia yang semakin meningkat. Pada masa yang sama, nasihat pelakon senior yang meminta saya memperbetulkan diri sendiri, tidak kira sama ada berada di pihak yang betul atau sebaliknya memberikan kesedaran," katanya kepada BH Online.

Syafie dan Aishah mengikat tali pertunangan April tahun lalu selepas beberapa bulan berkenalan. Bagaimanapun, ikatan pertunangan yang berlangsung dalam majlis meriah terlerai tiga bulan kemudian.

Tidak menetapkan ciri-ciri wanita yang diimpikan, Syafie mengakui kesilapannya terburu-buru membuat keputusan mahu bertunang banyak mengajarnya.

"Dahulu, saya mengaku terburu-buru membuat keputusan untuk bertunang. Tetapi, saya mahu mengenali hati budi pasangan, sebelum memikirkan fasa lebih serius.

"Saya tidak serik dengan apa yang berlaku. Saya masih membuka pintu hati mengenali orang baharu tetapi nampaknya masih belum ada calon yang sesuai. Saya tidak kisah siapa pun wanita sama ada artis atau orang biasa. Yang penting adalah keserasian.

"Buat masa ini, saya mahu fokus pada kerjaya. Saya ingin mengumpul aset kerana mahu membawa ibu bapa menunaikan umrah,” katanya.

Bintang filem Mukhsin itu berkata, dia bakal menyambung pengajian pada peringkat sarjana muda.

“Jadi, saya tidak mahu membebankan fikiran dengan perkara yang tidak sepatutnya. Saya mahu positif kerana ia lebih menenangkan saya.

“Apa yang berlaku saya anggap sebagai satu ujian," katanya yang menyesali tindakan berkongsi kemelut perhubungannya di laman sosial suatu ketika dahulu.

Berita Harian X