Sabtu, 15 Februari 2020 | 3:00pm
Hafiz mempertaruhkan single terbaru, Sinar Cinta yang dilancarkan di semua platform digital, semalam. Foto Ihsan Nova Music (M) Sdn Bhd
Hafiz mempertaruhkan single terbaru, Sinar Cinta yang dilancarkan di semua platform digital, semalam. Foto Ihsan Nova Music (M) Sdn Bhd

Menang dua trofi AJL34, Hafiz pertaruh Sinar Cinta

KUALA LUMPUR: Masih ‘hangat’ dengan dua trofi dimenangi pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 minggu lalu, Hafiz Suip tampil dengan single Sinar Cinta yang dilancarkan di platform digital, semalam.

Sekali lagi mendapat sentuhan emas Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali yang bekerjasama dengan John Jeevasingham, Sinar Cinta menyaksikan Hafiz mengekalkan forte muzik balada, bagai melayakkan gelaran ‘Raja Lagu Cinta’ diberi kepada pemegang takhta vokal terbaik AJL sebanyak empat kali ini.

Menyusun strategi, single Sinar Cinta turut menjadi runut bunyi drama Seindah Tujuh Warna Pelangi arahan Eoon Suhaini dibintangi Aeril Zafrel, Nabila Razali dan Hun Haqeem yang akan disiarkan di slot Akasia TV3, mulai 24 Februari ini.

Bercerita mengenai single terbaru itu, Hafiz berkata, lagu yang liriknya dihasilkan ketiga-tiga komposer bersama penerbit drama, D Hasniza dan Arisz Ab Rahman, dirakam awal tahun ini di studio milik Omar K.

“Saya harap lagu yang menjadi kesinambungan produk balada yang pernah dihasilkan, dapat diterima peminat. Pastinya, setiap lagu dirakam membawa penceritaan berbeza.

“Mengikut pemahaman saya, Sinar Cinta mengisahkan kehadiran cinta yang sempurna. Kita sedar cinta itu penting dalam kehidupan kita. Itu yang mahu disampaikan komposer lagu ini betapa pentingnya cinta dalam hidup yang bersifat universal.

“Proses rakaman lagu ini mudah kerana saya sudah biasa bekerjasama dengan Ikhwan dan Ayden,” katanya kepada BH Online.

Hafiz yang menampilkan isteri, Nureffy Jasreel Abdullah pada persembahan di pentas AJL34 sehingga meraih trofi Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik melalui lagu Kisah Cinta Kita, mengaku meluahkan emosi sebaik mungkin dalam merakamkan Sinar Cinta.

“Setiap lagu ada cabaran tersendiri. Dalam hidup ini, kita semua biasa bermain emosi. Saya cuba menggunakan apa yang dirasa untuk meresap dalam ‘roh’ lagu ini.

“Saya cuba menzahirkan emosi atau cinta terhadap isteri dan keluarga yang disayangi dalam lagu ini. Cinta saya kepada mereka tanpa syarat malah tidak terbatas atau infiniti. Semoga cinta yang mekar sekian lama itu terus kekal ke syurga,” katanya.

Single Sinar Cinta terbitan Nova Music (M) Sdn Bhd boleh distrim di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KK Box dan Deezer.

Video lirik rasmi lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.

Berita Harian X