Isnin, 10 Februari 2020 | 12:38pm
Fad dan Achey kelihatan menitiskan air mata apabila berkongsi berita kematian Abam di laman Instagram. NSTP/Azhar Ramli
Fad dan Achey kelihatan menitiskan air mata apabila berkongsi berita kematian Abam di laman Instagram. NSTP/Azhar Ramli

Fad tak dapat tatap Abam

KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan Bocey, Fad hampa tidak dapat memberikan penghormatan terakhir buat sahabatnya, Allahyarham Abam yang menghembuskan nafas terakhir dalam tidur, pagi tadi.

Ketika ini, Fad atau nama sebenarnya, Muhamad Fadzlie Mohd Nizam bercuti bersama keluarganya di Tokyo, Jepun.

Menerusi video berdurasi 21 saat, Fad memuat naik luahan yang cukup menyentuh hati pada saat dimaklumkan berita pemergian arwah Abam. Video yang menyaksikan Fad sebak dan menitiskan air mata itu ditonton lebih sejuta pelayar di laman Instagram (IG) dalam tempoh tiga jam.

“Kenapa kau pergi dulu Bam (Abam)? Kenapa tak tunggu aku? Aku jauh ini... Aku nak peluk, cium kau,” katanya tulis Fad menterjemahkan segala rasa yang menerpa.

Fad berkata, dia dan isteri cuba mendapatkan tiket penerbangan awal untuk pulang ke Malaysia, tetapi menghampakan.

“Penerbangan paling awal malam ini, jadi kami akan sampai esok pagi. Jika saya pulang sekali pun, saya tak dapat menatap wajah arwah Abam buat kali terakhir,” katanya dalam nada sedih.

Saat ditanya momen manis yang dikenang bersama arwah, Fad bagaikan hilang kata-kata.

“Saya tak boleh fikir apa-apa sekarang ini,” katanya.

Terdahulu, seorang lagi anggota Bocey, Achey mengesahkan berita pemergian arwah.

Sebelum ini, Achey menerusi perkongsian video berdurasi 23 saat, Achey menangis dengan suara tersekat-sekat dan menutup muka. Dalam kapsyen, Achey menulis, “Kenapa awal sangat Bam. Mana janji kau. Ya Allah...”

Video yang dimuat naik juga ditonton lebih sejuta pelayar di laman IG dalam tempoh tiga jam.

Achey berkata, dia diberitahu adik Abam, Ali Puteh bahawa arwah meninggal dalam tidur selepas waktu subuh.

“Arwah meninggal dalam keadaan sangat baik.

“Saya dimaklumkan arwah bangun, kemudiannya tidur semula. Namun tak sangka, tidurnya buat selama-lamanya,” katanya yang bergegas ke rumah arwah selepas mendapat berita itu.

Achey berkata, arwah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak, selepas waktu asar.

Abam atau nama penuhnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, meninggal dunia di kediamannya di Gombak, dipercayai akibat demam panas, kira-kira jam 7 pagi tadi.

Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan Siti Nurhidayah Mohd Ali pada 8 Disember 2017. Mereka dikurniakan anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey yang kini berusia lima bulan.

Berita Harian X