Sabtu, 8 Februari 2020 | 6:00pm
Datuk Seri Siti Nurhaliza meraikan kanak-kanak yang menjalani pembedahan jantung sempena kempen Simplysiti Di Hati. - BERNAMA
Datuk Seri Siti Nurhaliza meraikan kanak-kanak yang menjalani pembedahan jantung sempena kempen Simplysiti Di Hati. - BERNAMA

Kempen Simplysiti Di Hati kutip dana RM170,000

KUALA LUMPUR: Kempen Simplysiti Di Hati berjaya mengumpul dana RM171,145 bagi membantu membiayai kos pembedahan lima kanak-kanak yang tidak berkemampuan, tahun lalu.

Lima kanak-kanak berkenaan, Siah Wan Ying, Nurul Syamimi Ahmad Paridon, Auni Insyirah Muhammad Firdaus Hilmi, Auni Mardhiyah Ahmad Hanafi dan R Mugilan yang berusia antara dua hingga empat tahun. Mereka sudah selamat menjalani pembedahan dan dalam proses penyembuhan.

Majlis penyerahan cek oleh Presiden Simplysiti Sdn Bhd, Datuk Seri Siti Nurhaliza kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Institut Jantung Negara (IJN), Raja Datin Seri Zuraida Raja Mansur untuk disalurkan kepada Tabung Yayasan IJN diadakan di sebuah pusat beli belah, semalam.

Bagi Siti, peluang turun padang membantu anak-anak yang kurang berkemampuan memberikan kepuasan yang tidak terungkap dengan perkataan, lebih lagi dapat melihat sendiri wajah mereka.

“Ini antara pengalaman yang indah. Saya dapat turun padang dan melihat wajah-wajah yang menyokong misi kempen Simplysiti Di Hati yang membantu kanak-kanak yang memerlukan bantuan, khususnya bermasalah jantung," katanya.

Setakat ini, kempen yang diperkenalkan pada 2011 itu mengumpul dana lebih RM200,000 dan disalurkan kepada Yayasan IJN untuk membantu rawatan 14 kanak-kanak pelbagai kaum yang menghidap penyakit jantung. - BERNAMA

Berita Harian X