Sabtu, 8 Februari 2020 | 1:00pm
Alvin gembira Emma sudi muncul dalam video muzik Tak Terganti yang juga penampilan pertama pelakon itu dalam klip muzik. Foto NSTP/Aswadi Alias
Alvin gembira Emma sudi muncul dalam video muzik Tak Terganti yang juga penampilan pertama pelakon itu dalam klip muzik. Foto NSTP/Aswadi Alias

Emma buat demi Alvin

KUALA LUMPUR: Kalau bukan teman baik, siapa lagi yang mahu dipelawa pelakon dan penyanyi, Alvin Chong untuk tampil dalam video muzik single terbarunya, Tak Terganti.

Tanpa mendengar lagu, jauh sekali membangkitkan soal bayaran, Emma Maembong yang diketahui ramai rapat dengan Alvin, bersetuju muncul dalam klip video arahan Jeremy Lai itu.

Namun, peminat perlu menunggu sehingga Isnin ini untuk menonton video muzik berkenaan yang akan dimuat naik di saluran YouTube AlvinChongVevo.

Alvin berkata, ingatannya melayang kepada Emma ketika memikirkan model wanita yang mahu dipaparkan dalam klip video berkenaan.

“Emma paling sesuai. Namun, dalam hati berdetik, apakah dia sudi bekerjasama.

“Saya beranikan diri bertanya. Tanpa diduga, Emma setuju. Dia tak cakap banyak apatah lagi bertanya soal bayaran.

“Emma teruja kerana tidak pernah beraksi dalam video muzik. Emma beritahu sesibuk mana pun, dia sanggup buat apa sahaja untuk saya,” katanya.

Tak Terganti adalah lagu ciptaan Ariadinata yang juga vokalis kumpulan Samson dari Indonesia.

Single yang dilancarkan pada 17 Januari lalu itu, turut melatari drama siaran Astro, Tolong Sempurnakan Cinta Mami lakonan Alvin.

Alvin yang melancarkan video muzik lagu berkenaan di pejabat Universal Music di Petaling Jaya, semalam, yakin Emma melakukan semua itu demi persahabatan mereka.

“Emma sangat menyenangkan. Kami serasi sebagai teman gandingan dalam drama dan di luar. Emma banyak memperkenalkan saya kepada media.

“Malah, saya baik dengan adik-beradik Emma,” katanya yang turut rapat dengan Fattah Amin dan isterinya, Nur Fazura.

Mengulas mengenai single Tak Terganti, lagu itu menceritakan mengenai insan penting yang tiada galang ganti dalam hidup.

“Saya pernah hilang saudara sendiri. Lagu ini saya tujukan buat peminat,” katanya.

Sementara itu, Alvin sudah memiliki kelab peminat rasmi yang diberi nama, Alvinators.

“Peminat sudah boleh mendapatkan barangan eksklusif di laman web www.alvinchongofficial.com.

“Setiap pembelian kemeja-T bundle bernilai RM78 melayakkan mereka menerima keahlian kelab selama setahun secara percuma,” katanya.

Berita Harian X