Rabu, 5 Februari 2020 | 8:30am
Penyanyi, Tajul Ariff tidak mahu mempersia-siakan kepercayaan yang diberikan isteri. NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
Penyanyi, Tajul Ariff tidak mahu mempersia-siakan kepercayaan yang diberikan isteri. NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Tajul tengok 'mood' isteri jika keluar malam

KUALA LUMPUR: Memikul tanggungjawab suami dan bapa dalam usia yang muda tidak pernah menjadi bebanan buat penyanyi Sedalam Dalam Rindu, Tajul Ariff, 22.

Bahkan, bapa kepada Adriana Carissa yang kini berusia dua bulan mengakui bertuah memiliki isteri, Nurul Syamiez Eddie, 24, yang tidak pernah mengongkong, jauh sekali cemburu buta.

Tajul berkata, isterinya seorang yang sangat memahami biarpun berlainan bidang.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak pernah mengambil kesempatan atas kepercayaan dan berpada-pada dalam segala tindak tanduknya.

“Gaya hidup berubah sejak berumah tangga. Jika dahulu, saya keluar rumah sesuka hati dan boleh ke mana sahaja, tetapi sekarang kenalah memberitahu isteri sebelum keluar rumah.

“Bagaimanapun, isteri tidak pernah mengongkong kebebasan saya. Cuma, kadang kala keluar rumah kena tengok ‘mood’ isteri juga. Jika kurang baik, pandai-pandailah balik awal.

“Jika tidak, isteri tiada masalah pun jika saya keluar bersama rakan-rakan, cuma kenalah tahu batas,” katanya kepada BH Online.

Tajul yang mendirikan rumah tangga pada usia 19 tahun mendedahkan, isteri tidak pernah menghalang minatnya dalam dunia seni.

Namun, katanya, dia dan isteri bertukar kata laluan akaun Instagram (IG) supaya mudah memantau aktiviti, selain tidak menimbulkan perbalahan pada kemudian hari.

“Saya tidak mahu mempersia-siakan kepercayaan isteri. Saya juga bukan mahu meragui kesetiaannya, tetapi saya lebih senang jika isteri memantau laman sosial saya bagi mengelakkan mesej bukan-bukan daripada peminat.

“Saya akui, ada peminat yang menghantar gambar bukan-bukan sebelum berkahwin. Namun, Alhamdulillah, kini tiada lagi.

“Bagi saya, pokok pangkalnya atas diri sendiri jika sudah berkahwin. Jika tidak melayan, pasti tidak melarat,” katanya.

Tajul berkata dia bersyukur masih mendapat sokongan peminat biarpun sudah mendirikan rumah tangga.

“Isteri tidak pernah menghalang saya bergambar dan melayan peminat. Cuma, dia tidak gemar menemani saya ketika bekerja. Mungkin tidak selesa menjadi tumpuan peminat.

“Dia juga menyokong saya berlakon atau berduet dengan sesiapa saja,” katanya yang mendedahkan wajah cahaya mata sulungnya menerusi muzik video lagu terbaharunya berjudul Ku Sayang Kau Rindu pada awal Januari lalu.

Berita Harian X