Ahad, 22 Disember 2019 | 11:01am
Penyanyi dan komposer, Ikhwan Fatanna. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
Penyanyi dan komposer, Ikhwan Fatanna. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Ikhwan Fatanna nak nyanyi lagu cinta di pentas AJL

KUALA LUMPUR: Kemaraan dirinya ke Anugerah Juara Lagu (AJL) 34 atas tiket komposer membakar semangat Ikhwan Fatanna untuk bertanding di pentas berprestij berkenaan sebagai penyanyi pula, pada edisi akan datang.

Sekian lama menyimpan hasrat terbabit, Ikhwan berkata, dia bercadang untuk menghasilkan lagu lebih komersial, namun tidak lari daripada konsep Islamik yang menjadi tanda dagangnya.

"Saya akui, kebanyakan lagu saya sebelum ini berunsur keagamaan. Jadi, agak sukar untuk ia membolosi senarai akhir anugerah terbabit.

“Justeru, selepas ini saya ingin menghasilkan karya yang lebih bersifat komersial, dengan liriknya mempunyai unsur cinta. Saya akan cuba melakukan eksperimen, tetapi tetap mengekalkan unsur Islamik di dalamnya.

“Walaupun lagu itu nanti mempunyai unsur cinta, saya tidak mahu melihatnya jadi terlalu santai, tanpa sebarang mesej berguna di dalamnya," katanya kepada BH Online.

Pada AJL33, lagu ciptaannya, Jatuh Bangun, dendangan Haqiem Rusli dan Aman Ra turut berentap bersama 11 karya lain. Bagi edisi ke-34 pula, Ikhwan, 29, diwakili dua lagu, Kisah Cinta Kita (Hafiz Suip) dan Ku Bersuara (Ernie Zakri).

Kisah Cinta Kita dicipta olehnya bersama Ayden Ali, manakala Ku Bersuara adalah hasil kerjasama dirinya dengan Syamel, Omar K dan John Jeevasingham.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai kebanyakan karyanya yang menyerlah adalah hasil ciptaan bersama komposer lain, penyanyi yang popular dengan lagu Bismillah ini berkata, idea dihasilkan secara kolektif lebih bagus dan mampu memberikan kepelbagaian pada sesebuah lagu.

"Apabila ada ramai komposer terbabit dalam penghasilan sesebuah karya, lebih banyak idea dapat dikumpulkan. Ia memberikan kelebihan terhadap melodi lagu itu kerana setiap komposer mempunyai cita rasa dan identiti sendiri," katanya.

Berita Harian X