Sabtu, 21 Disember 2019 | 6:42pm
Penyanyi, Dr Fitri Haris bersama isteri, Fazilah Omar, pada majlis bersama teman rapat dan wakil media di ibu kota, hari ini. - NSTP/Zaidi Mohamad
Penyanyi, Dr Fitri Haris bersama isteri, Fazilah Omar, pada majlis bersama teman rapat dan wakil media di ibu kota, hari ini. - NSTP/Zaidi Mohamad

'Isteriku, pengurusku'

KUALA LUMPUR: Selepas lapan tahun menduda, penyanyi, Dr Fitri Haris, mendedahkan sudah mendirikan rumah tangga dengan pengurus sendiri, Fazilah Omar.

Bagaimanapun, juara program realiti Gema Gegar Vaganza (GGV) musim kedua itu enggan berkongsi tarikh dan lokasi majlis pernikahan mereka.

“Cukuplah jika orang ramai tahu kami sudah bernikah, baru-baru ini, dalam sebuah majlis tertutup. Tidak perlulah kami kongsi tempat dan tarikhnya,” katanya pada sebuah majlis bersama teman rapat dan wakil media, di sini.

Kata bekas anggota kumpulan UNIC itu, dia sememangnya tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan wanita yang sentiasa berada di depan mata, sejak pembabitannya dalam GGV2.

“Selama ini, saya memang tidak menyimpan sebarang perasaan terhadapnya kerana hubungan kami adalah atas paksi kerja. Masing-masing bersikap profesional. Malah, saya sudah menganggapnya seperti keluarga sendiri.

“Namun, semua ini aturan Tuhan. Selepas mengadakan solat istikharah, kira-kira tiga bulan lalu, saya nampak wajah isteri. Jadi, pada awalnya berasa kekok juga kerana selama ini tiada apa-apa perasaan terjalin antara kami. Kini ia menjadi sebaliknya.

“Ia juga tidak ubah seperti tajuk cerita... Isteriku pengurusku,” katanya yang akan berbulan madu di Bandung, Indonesia, dalam masa terdekat.

Fitri bersama Fazilah dan anak masing-masing - NSTP/Zaidi Mohamad
Fitri bersama Fazilah dan anak masing-masing - NSTP/Zaidi Mohamad

Fitri mempunyai anak perempuan berusia 15 tahun hasil perkahwinannya yang lalu, manakala Fazilah pula empat tahun bergelar ibu tunggal kepada anak lelaki berusia sembilan tahun.

Berita Harian X