Jumaat, 13 Disember 2019 | 1:00pm
EMMA bersyukur masih diberi peluang berkongsi bakat biarpun sering dihimpit kontroversi. - Foto IG Emma Maembong
EMMA bersyukur masih diberi peluang berkongsi bakat biarpun sering dihimpit kontroversi. - Foto IG Emma Maembong

Emma cekal harungi kontroversi

KUALA LUMPUR: Biarpun perjalanannya sepanjang 2019 dilingkari pelbagai kontroversi, pelakon jelita, Emma Maembong, menyifatkan setiap episod mencabar yang dilalui sebagai proses mematangkan diri.

Emma berkata, dia banyak belajar daripada kontroversi yang berlaku, malah bersyukur masih diberikan Allah peluang mengecap kemanisan ketika diri pernah tewas dengan dugaan.

“Saya percaya, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Semua itu saya anggap sebagai proses pembelajaran dan paling penting, saya terus memandang hari depan.

“Dalam meniti hidup, pasti akan ada titik hitam yang kita lalui, namun ia tidak pernah membuatkan saya berhenti daripada berusaha menjadi insan lebih baik.

“Alhamdulillah, saya masih diberikan ruang untuk mencari rezeki sebagai anak seni dan tetap disayangi peminat, terutama Emanizers,” katanya.

Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, berkata dia juga tidak kesal apabila ditakdirkan masih sendiri selepas beberapa episod percintaan yang dilalui berakhir dengan perpisahan.

Akur tuah belum menyebelahi untuk bertemu cinta sejati, Emma berkata, sama seperti wanita lain, dia turut berdoa dipertemukan dengan lelaki yang dapat membimbingnya ke jalan yang baik.

“Saya tidak memilih dalam berkawan, cuma ketika ini, saya dahulukan fokus untuk mencari rezeki. Saya belum puas berlakon dan berharap dapat menambah ilmu untuk memperbaiki diri dalam bidang ini,” katanya.

Nama pelakon itu kembali menjadi sebutan ramai apabila lakonannya dalam drama, Cemburu Seorang Perempuan mendapat pujian.

Watak antagonis yang dibawa kakak kepada Chacha Maembong itu berjaya membuat penonton membencinya, sekali gus membuktikan sisi berbeza Emma sebagai pelakon.

“Saya mahu keluar dari zon selesa dan terus mencabar diri. Saya cuba elakkan watak klise, tetapi tidak menolak, jika masih diberi kepercayaan membawa watak baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Emma sekali lagi bakal digandingkan dengan Alvin Chong dalam drama Tolong Sempurnakan Cerita Mami. Terdahulu, mereka digandingkan dalam drama Awak Suka Saya Tak?.

Berita Harian X