Rabu, 27 November 2019 | 11:00am
Drama Band mendakwa tidak ada masalah peribadi dengan Baby Shima malah sedia berjumpa dengan penyanyi itu. Foto NSTP Zunnur Al Shafiq
Drama Band mendakwa tidak ada masalah peribadi dengan Baby Shima malah sedia berjumpa dengan penyanyi itu. Foto NSTP Zunnur Al Shafiq

Kami tak pernah jumpa Baby Shima - Aepul Drama Band

KUALA LUMPUR: Drama Band tidak berkecil hati dengan reaksi Baby Shima yang mendakwa tidak kenal kumpulan muzik itu gara-gara kontroversi video muzik Satu-Satu yang dikatakan menyindir penyanyi itu dengan seorang usahawan produk kecantikan.

Vokalis Drama Band, Aepul Roza bagaimanapun tidak terkejut dengan kenyataan dibuat Baby Shima.

Malah, kata Aepul, peminat mungkin tersalah anggap maksud yang cuba disampaikan Baby Shima yang pernah menyertai pertandingan nyanyian lagu dangdut D'Academy Asia, dua tahun lalu.

“Secara jujur, kami tidak ambil hati dengan kenyataan Baby Shima. Apa yang diluahkan memang benar. Kami tidak pernah bersua atau berbual.

“Jadi memang betullah kenyataan dia tidak kenal Drama Band,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, Baby Shima dalam kenyataannya kepada BH Online mengaku tidak kenal anggota kumpulan Drama Brand gara-gara kontroversi muzik video Satu-Satu. Klip video berkenaan dikatakan menyelar kontroversi penyanyi cantik itu dengan usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri.

Aepul mengaku pihaknya memuat naik kenyataan Baby Shima mengenai isu berkenaan di Instastory.

“Namun, kata-kata kecaman itu bukan datang daripada kami. Sebaliknya, kami hanya berkongsi luahan dibuat peminat,” katanya.

Aepul berkata, dia dan teman-teman band tidak ada masalah peribadi dengan Baby Shima.

“Sebenarnya, tiada isu antara Drama Band dengan Baby Shima. Kami tidak ada masalah jika bertentang mata. Malah, jika ditadirkan suatu hari nanti kami bekerjasama, kami tidak kisah,” katanya.

Menjawab dakwaan Baby Shima konon Drama Band mencari publisiti murahan apabila menghasilkan video muzik seumpama itu, Aepul tidak menafikannya.

Namun, tambah Aepul, perhatian yang dicari Drama Band adalah dalam sudut menyampaikan mesej baik.

“Saya mengaku kami mahu perhatian bagi menyampaikan mesej kepada penonton.

“Tetapi kami buat semua itu bukan untuk mengejar populariti atau wang. Sebaliknya, kami mahu menjadi kumpulan muzik yang menyampaikan lagu ada mesej. Bukanlah semata-mata lagu cinta atau kekecewaan.

“Kalau mesej tidak sampai kepada semua tidak mengapa. Jika mesej itu sampai kepada dua atau tiga orang pun sudah memadai. Asalkan ada orang sedar mesej yang cuba kami sampaikan,” katanya.

Klip video Satu-Satu yang dilancarkan Isnin lalu, sudah mendapat lebih 700,000 tontonan. Lagu itu berkisar sikap individu yang rela berbuat apa saja di laman sosial hingga sanggup mengetepikan maruah diri bagi mengejar populariti.

Drama Band yang turut dianggotai Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir dan Nik Adib, sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila muzik video Drama dikatakan menyindir beberapa selebriti seperti Haqiem Rusli, Aliff Aziz dan Haneesya Hanee.

Berita Harian X