Rabu, 6 November 2019 | 1:01pm
PENYANYI, Datuk Siti Nurhaliza, gembira menerima maklum balas positif pendengar terhadap single baharunya, Terang. - Foto ihsan Siti Nurhaliza
PENYANYI, Datuk Siti Nurhaliza, gembira menerima maklum balas positif pendengar terhadap single baharunya, Terang. - Foto ihsan Siti Nurhaliza

Peminat dapat semangat, inspirasi dengar lagu Terang

KUALA LUMPUR: Melepasi usia dua dekad di pentas seni, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 40, mahu mengimbangi antara tuntutan komersial dan tanggungjawab terhadap masyarakat dalam berkarya.

Ia dapat disaksikan menerusi single terbarunya, Terang, yang turut diangkat sebagai tema kempen SimplySiti Di Hati 2019.

Lagu berkenaan adalah hasil ciptaan komposer, Aubrey Suwito, manakala liriknya oleh Shah Shamsiri.

“Bermula daripada album Fragmen lagi saya memang menitikberatkan lirik positif. Tidak hanya kisah latarnya, tetapi seni kata yang ditampilkan bersifat positif.

“Bagi saya, ia umpama sebuah tanggungjawab kerana melepasi usia dua dekad dalam industri muzik, saya harus menampilkan karya matang dari segala segi.

“Terang adalah manifestasi yang menyentuh soal masyarakat hari ini, supaya kita bangkit dalam apa juga keadaan,” katanya kepada BH Online.

ANTARA aksi Siti Nurhaliza dan kanak-kanak yang menjayakan video muzik Terang. - Foto ihsan Siti Nurhaliza
ANTARA aksi Siti Nurhaliza dan kanak-kanak yang menjayakan video muzik Terang. - Foto ihsan Siti Nurhaliza

Lagu yang baru sahaja dilancarkan itu turut menyentuh hati banyak pihak, selain mendapat komen positif pendengar.

“Jujurnya, saya tak sangka lagu ini mendapat maklum balas cukup baik apabila saya membaca komen mengenainya. Ada yang mendapat inspirasi untuk terus bangkit setelah mendengarnya. Ia selari dengan matlamat saya untuk melihat karya dihasilkan memberikan manfaat kepada orang lain.

“Bagi saya, lagu ini karya yang mewakili kematangan diri sebagai anak seni, bagi memberikan sesuatu yang positif dan menerangi insan lain. Saya bukan sekadar penyanyi dan penghibur, tetapi turut menyumbangkan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat.

“Saya berterima kasih kepada pencipta dan penulis liriknya. Karya berkenaan ibarat jendela kepada kemunculan album baharu saya, awal tahun depan,” katanya.

Lagu itu disokong oleh video muzik hasil arahan Nadiyah Zakariya, yang turut menyerlahkan mesej positif dan memberikan semangat kepada orang ramai.

Berita Harian X