Rabu, 30 Oktober 2019 | 11:00am
SAHARUL cabar diri keluar dari zon selesa untuk terus bertahan dalam industri hiburan. - NSTP/MAHZIR MAT ISA.
SAHARUL cabar diri keluar dari zon selesa untuk terus bertahan dalam industri hiburan. - NSTP/MAHZIR MAT ISA.

Saharul pegang nasihat Azhan Rani

KUALA LUMPUR: Nasihat pelakon senior supaya berhati-hati mengatur langkah ketika nama berada di puncak sentiasa tersemat dalam ingatan Saharul Ridzwan.

Saharul, 30, yang meniti puncak pada 2016 apabila memenangi pelbagai anugerah selepas membintangi drama, Kau Aku Kita mengakui, pesanan itu menguatkan tekadnya ketika mencari hala tuju dalam industri hiburan.

“Saya masih ingat abang Azhan Rani pernah memberitahu, sekali berada di atas, kita perlu berhati-hati. Memang saya boleh pilih jalan mudah untuk popular, tetapi apakah ia menjamin saya terus bertahan.

“Saya kagum dengan pelakon seperti Beto Kusyairy. Mungkin wajahnya tidak selalu ditonton di skrin televisyen, tetapi namanya sentiasa ada dalam industri.

“Nak popular memang mudah, tetapi untuk bertahan dan konsisten itu paling sukar. Masyarakat di luar sentiasa menilai dan melihat bagaimana kita mengatur langkah, jadi saya perlu mengelakkan diri daripada dijerat kontroversi,” katanya.

Saharul berkata, dia juga perlu berani keluar dari zon selesa, tambahan pula, ketika ini, penonton mempunyai banyak pilihan dan sentiasa menanti kemunculan wajah baharu.

Justeru, pelakon drama Jangan Benci Cintaku itu mencabar diri dengan berlakon filem untuk menguji sejauh mana kemampuannya.

“Zul Ariffin pernah memberitahu, membintangi filem itu umpama pencapaian bagi seseorang pelakon. Tidak semua pelakon memperoleh peluang itu, terutama membintangi filem aksi.

“Alhamdulillah, peluang itu datang menerusi filem Coast Guard. Itu bermakna, bakat saya sudah berada pada satu tahap lebih tinggi dan saya bersyukur memperoleh rezeki ini,” katanya.

SAHARUL bersama anak sulungnya, Ali. - NSTP/ AZIAH AZMEE
SAHARUL bersama anak sulungnya, Ali. - NSTP/ AZIAH AZMEE

Saharul berkata, tanggungjawab sebagai ayah juga banyak mematangkan pemikirannya. Andai dahulu, setiap kali menerima tawaran kerja, dia hanya memikirkan diri sendiri, tetapi kini tidak lagi.

“Anak saya, Muhammad Luth Ali sudah berusia dua tahun dan tidak lama lagi, bakal menimang cahaya mata kedua. Saya perlu memikirkan perancangan masa depan mereka, termasuk menjalankan perniagaan sebagai persediaan.

“Saya bertuah, isteri banyak membantu menguruskan perniagaan ketika saya sibuk di lokasi penggambaran. Saya tidak boleh mengharapkan tawaran berlakon semata-mata.

“Jika tidak lagi berlakon, saya ingin menjadi pengarah kerana jiwa saya memang dalam bidang ini. Ketika ini, saya perlahan-lahan belajar dengan abang Pali selok-belok urusan di balik tabir,” katanya.

Berita Harian X