Rabu, 30 Oktober 2019 | 9:01am
ARTIS serba boleh, Mawi, kini berusaha menghasilkan skrip filem terbaru. - NSTP/Aswadi Alias
ARTIS serba boleh, Mawi, kini berusaha menghasilkan skrip filem terbaru. - NSTP/Aswadi Alias

ASK 2019: Mawi terharu Tiada Tajuk layak bersaing

KUALA LUMPUR: Artis serba boleh, Mawi, tidak menyangka filem sulung arahannya, Tiada Tajuk, turut dicalonkan pada Anugerah Skrin (ASK) 2019 yang bakal mencapai kemuncaknya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Jumaat ini.

Menurut penyanyi, pelakon dan pengarah terbabit, sebagai orang baharu dalam bidang perfileman, sudah tentu dia terharu apabila ada pihak menghargai karya yang dihasilkan berdasarkan minat itu.

“Saya menghasilkan filem berkenaan kerana minat dalam dunia perfileman, selain sebahagian daripada perancangan perniagaan.

“Justeru, saya tidak menyangka apabila ia turut dipilih untuk bersaing pada ASK kali ini. Saya difahamkan, Tiada Tajuk layak bersaing dalam beberapa kategori, termasuk Lakon Layar Terbaik,” katanya kepada BH Online.

Ujar juara Akademi Fantasia (AF) musim ketiga ini, ketika menghasilkan filem yang dilakonkannya bersama Hazama, Joey Daud, Along Cham dan Amyra Othman itu, dia sedikit pun tidak terfikir soal memenangi anugerah.

“Jadi, apabila ada pihak melihatnya sebagai karya yang layak untuk dipertandingkan pada anugerah seperti ASK, setidak-tidaknya usaha dan penat saya menghasilkan karya ini dirasakan berbaloi.

“Ketika ini, kalah atau menang bukan keutamaan kami, sebaliknya penghargaan atau pengiktirafan diberikan kepada naskhah terbabit sangat dihargai,” kata Mawi, 38, yang mengarahkan filem itu berdasarkan cerita tulisannya bersama Rahman Saharddin (idea asal) dan Ken Ridzuan.

Tiada Tajuk, yang bercorak komedi Islamik dan diterbitkan Mawi World Entertainment, ditayangkan di 100 pawagam ketika ia menemui penonton, April lalu.

Sementara itu, Mawi yang turut membintangi Magika dan Munafik 2 berkata, dia kini berusaha menyiapkan skrip filem terbaru.

“Saya memang mempunyai perancangan untuk menghasilkan filem kedua. Ketika ini tumpuan diberikan kepada penghasilan skrip terlebih dahulu, sebelum saya memikirkan mengenai modal, cara penerbitan mahupun tarikh penggambarannya.

“Kali ini, saya ingin beralih ke genre mistik dan seram, namun tetap mengekalkan elemen komedi. Saya sendiri ketika ini banyak menonton cerita seram bagi mencedok sedikit sebanyak ilmu pembikinannya, terutama dari segi teknik pencahayaan,” katanya.

Kata Mawi, dia juga akan mendapatkan pandangan pengarah dan pelakon terkenal yang juga sahabatnya, Syamsul Yusof, berhubung penghasilan filem itu.

Berita Harian X