Sabtu, 7 September 2019 | 11:30am
SENIWATI, Datuk Seri Maria Menado, menyukai filem Dendam Pontianak versi baharu. - NSTP/Aziah Azmee
SENIWATI, Datuk Seri Maria Menado, menyukai filem Dendam Pontianak versi baharu. - NSTP/Aziah Azmee

Bukan mudah nak jadi pontianak - Maria Menado

PETALING JAYA: Primadona filem Melayu klasik, Datuk Seri Maria Menado, masih ingat cabaran mengubah wajahnya daripada cantik menjadi buruk ketika membintangi filem seram, Pontianak dan Dendam Pontianak, lebih enam dekad lalu.

Menurut Maria, 87, proses berkenaan bukan sesuatu yang mudah, malah mengambil masa panjang untuk dilakukan.

“Watak Comel dilakonkan dalam filem itu memerlukan saya melalui proses transformasi sebanyak tiga kali. Ia bermula dengan wanita bongkok yang menjadi cantik selepas meminum sejenis ramuan ditemui dalam sebuah buku. Dia bagaimanapun bertukar menjadi buruk apabila melanggar pantang, iaitu terkena darah.

“Bagi mengubah wajah saya, semuanya dilakukan secara alami yang memerlukan saya berbaring dan disolek. Bukan sekadar perlu menunggu lama untuk menyiapkan kerja solekan, babak transformasi pula harus dirakamkan satu demi satu supaya perubahan itu nampak jelas di layar.

“Memang saya kena banyak bersabar, namun hasilnya memuaskan apabila ada yang ketakutan sebaik sahaja melihat wajah saya di set penggambaran,” katanya kepada BH Online.

Bintang veteran itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Dendam Pontianak, di Mutiara Damansara, di sini.

FAZURA hanya bersedia ke lokasi penggambaran jika tawaran diberikan mampu meninggalkan impak kepada penonton. Foto Aziah Azmee
FAZURA hanya bersedia ke lokasi penggambaran jika tawaran diberikan mampu meninggalkan impak kepada penonton. Foto Aziah Azmee

Seniwati Salmah Ahmad turut berkongsi pengalaman sama dengan memaklumkan, ada kala mereka tidak sempat pulang ke rumah kerana tempoh penggambaran yang sangat panjang.

“Selalunya, penggambaran bermula pada jam 6 petang dan berakhir keesokan harinya. Kadang kala, kami tidak sempat balik dan terpaksa mandi di lokasi sahaja kerana jadual penggambaran yang ketat,” katanya yang turut membintangi filem klasik terbitan 1957 itu bersama Maria.

Mengulas mengenai filem terbaru edaran Primeworks Studios itu, Maria memuji karya arahan Glen Goei dan Gavin Yap berkenaan.

“Filem ini bagus dari segi lakonan dan aspek teknikalnya. Saya sangat menyukai filem ini, terutama dari segi warnanya,” katanya.

Dendam Pontianak yang menggabungkan elemen drama dan seram menampilkan lakonan hebat Nur Fazura, Remy Ishak, Hisyam Hamid, Namron, Wan Hanafi Su dan ramai lagi.

Ia bakal menjengah pawagam di seluruh negara bermula 12 September ini.

Berita Harian X