Ahad, 18 Ogos 2019 | 11:00am
PELAKON dan penyanyi, Izzue Islam. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON dan penyanyi, Izzue Islam. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

'Kalau meluat, jangan ikut'

KUALA LUMPUR: “Kalau tak suka dan meluat melihat gelagat mahupun gurauan saya serta isteri, lebih baik jangan ikut saya di Instagram bagi mengelakkan rasa sakit hati.”

Itu reaksi pelakon dan penyanyi, Izzue Islam, apabila ada peminat meluahkan rasa jelak dengan perkongsian gurauannya bersama isteri, Awin Nurin, di laman sosial mereka.

Terbaru, Izzue memuat naik video gurauan yang dianggap kasar oleh segelintir pihak apabila isterinya menconteng wajah artis terbabit ketika sedang lena tidur. Malah, ada yang berpendapat Awin tidak menghormati suami dengan jenaka itu.

“Sebenarnya, tiada apa yang salah pun kerana ia sudah menjadi perkara biasa buat kami. Saya dan isteri memang bergurau kasar. Semestinya saya takkan berkongsi video terbabit jika ia menyentuh sensitiviti. Sebaliknya, ia sekadar gurauan suami isteri.

IZZUE bersama isteri, Awin Nurin. - Foto IG Izzue Islam
IZZUE bersama isteri, Awin Nurin. - Foto IG Izzue Islam

“Saya ada terbaca komen mengatakan sudah muak melihat gurauan kami yang kononnya sama sahaja. Jadi, lebih baik ‘unfollow’ saya dan ikuti perkembangan mereka yang lebih kreatif dalam bergurau senda. Mereka yang mengenali kami pasti maklum gurauan spontan saya dan isteri.

“Kami pula tidak merancang setiap gurauan. Mana-mana yang dirasakan lucu, ia dikongsikan bersama peminat di Instagram. Mudah sahaja sebenarnya,” kata calon Top 5 Pelakon TV Lelaki Popular Alha Alfa, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 ini kepada BH Online.

IZZUE dakwa sering bergurau kasar dengan isteri. - Foto IG Izzue Islam
IZZUE dakwa sering bergurau kasar dengan isteri. - Foto IG Izzue Islam

Izzue, yang juga bekas anggota kumpulan Forteen, mendirikan rumah tangga dengan Awin pada 2 Jun 2013.

Bercerita mengenai perkembangan kerjaya seni, artis berasal dari Kelantan ini akan memperkenalkan single terbaru berjudul This Is Malaysia, sempena bulan kemerdekaan.

“Jika sebelum ini saya tampil dengan lagu My City yang mempromosikan negeri sendiri, kali ini saya akan muncul pula dengan single berkisarkan negara kita. Biarpun judulnya This Is Malaysia, bait liriknya tetap dalam bahasa kebangsaan,” kata Izzue.

Berita Harian X