Jumaat, 21 Jun 2019 | 9:00am
Izzue dan isteri sering menganggap pertanyaan mengenai zuriat sebagai doa buat mereka dikurniakan rezeki menimang cahaya mata, suatu hari nanti. Foto NSTP Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Izzue dan isteri sering menganggap pertanyaan mengenai zuriat sebagai doa buat mereka dikurniakan rezeki menimang cahaya mata, suatu hari nanti. Foto NSTP Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Izzue, isteri sabar menanti

KUALA LUMPUR: Memasuki tahun keenam usia perkahwinan, Izzue Islam dan Awin Nurin, sabar menanti rezeki dikurniakan zuriat.

Menarik perhatian warganet apabila pasangan ini memuat naik foto bersama seorang bayi di media sosial, Izzue dan Awin berfikiran positif serta menganggap setiap pertanyaan berhubung zuriat, sebagai doa.

Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 27, gembira menumpang kasih dengan anak orang lain sementara mereka belum beroleh rezeki menimang cahaya mata.

“Seronok apabila mereka yang sudah berkahwin mendapat anak. Lagi seronok apabila mereka memberi peluang kepada saya dan isteri untuk bergurau senda dengan anak-anak mereka.

“Doakan Izzue dan Awin serta pasangan lain yang belum diberi rezeki menimang cahaya mata dikurniakan zuriat, suatu hari nanti. Kami sudah enam tahun, anda pula bagaimana?” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, perkongsian Izzue dan Awin yang memuat naik foto bersama seorang bayi di laman sosial, mengundang reaksi banyak pihak. Selain peminat, teman-teman selebriti mendoakan pasangan itu beroleh rezeki memiliki cahaya mata.

Ada rakan selebriti berkongsi pengalaman dan memberi saranan berhubung rawatan alternatif untuk mereka mendapatkan anak.

Izzue yang juga bekas anggota kumpulan Forteen, mendirikan rumah tangga dengan Awin pada 2 Jun 2013.

Berita Harian X