Khamis, 6 Jun 2019 | 2:30pm
SHUK dan isteri dalam debaran menanti detik kelahiran anak kedua, bulan depan. Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
SHUK dan isteri dalam debaran menanti detik kelahiran anak kedua, bulan depan. Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Shuk raya sakan

KUALA LUMPUR: Pelawak Shuk Sahar, 33, tidak menafikan sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna, terutama selepas dinobatkan sebagai juara program Bintang Bersama Bintang (BBB) 2019, baru-baru ini.

Shuk berkata, ia semakin bererti kerana itu adalah kemenangan sulung yang dilakarnya selepas menyertai beberapa pertandingan.

Shuk atau nama sebenar, Mohammad Shukri Mohamed Sahar, menyifatkan kemenangan itu sebagai rezeki anak keduanya yang bakal dilahirkan isterinya, Rossalennah Natassyiah Asshaferah atau Sera, 27, bulan depan.

“Alhamdulillah, mungkin sudah tertulis semua ini rezeki anak. Ketika isteri mengandungkan anak pertama kami, saya menerima tawaran sebagai penyampai radio di Hot FM.

“Apabila cahaya mata sulung kami lahir, pelbagai rezeki menjelma. Saya percaya, dengan bertambahnya seorang lagi zuriat, rezeki juga akan terus bertambah.

“Saya hanya menumpang rezeki mereka. Jujurnya, rezeki saya sebelum dan selepas berkahwin sangat jauh berbeza,” katanya yang membawa pulang wang tunai RM100,000 dalam pertandingan itu.

Menyambut Aidilfitri di Pulau Pinang, Shuk berkata, mereka sepatutnya beraya di kampung isterinya di Sabah, namun terpaksa mengubah perancangan berikutan Sera sedang sarat hamil.

“Kami bagaimanapun, tidak melupakan keluarga di sana. Kami akan tetap berusaha pulang ke Sabah apabila keadaan mengizinkan nanti. Beraya di Sabah juga seronok kerana hubungan keluarga di sana yang kuat.

“Di kampung isteri saya, hampir semua penduduk ialah ahli keluarganya. Apabila beraya, memang meriah kerana kami akan singgah ke setiap rumah,” katanya.

Shuk yang juga pemenang tempat kedua program Maharaja Lawak Mega 2016 mengakui, dia tidak pernah melepaskan peluang pulang ke kampung, meskipun pada saat akhir berikutan komitmen kerja.

“Tahun lalu, saya perlu bekerja pada hari raya. Suasana menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur sangat berbeza. Jadi, apabila berpeluang balik beraya di kampung, kami sangat seronok.

“Di sana, kita dapat berkumpul bersama keluarga, saudara-mara dan kawan-kawan. Tambahan pula, sejak kecil saya memang rapat dengan kawan-kawan di kampung. Terasa sangat perbezaannya, berbanding beraya di sini,” kata pemenang tempat ketiga program Raja Lawak musim kelima itu.

Berita Harian X