Jumaat, 24 Mei 2019 | 9:00am
Ebby bersyukur dikelilingi insan tersayang sehingga ada yang sanggup mendermakan buah pinggang kepadanya. Foto NSTP Mahzir Mat Isa
Ebby bersyukur dikelilingi insan tersayang sehingga ada yang sanggup mendermakan buah pinggang kepadanya. Foto NSTP Mahzir Mat Isa

Ebby Yus tersentuh hajat wanita derma buah pinggang

KUALA LUMPUR: Pelawak, Ebby Yus menyifatkan kesudian dua individu termasuk seorang wanita menderma buah pinggang kepadanya sebagai rezeki yang sukar diungkap dengan kata-kata.

Berdepan sakit buah pinggang tahap tiga selain jantung dan gastrik kronik, Ebby berkata, ketika ini, dia bagaimanapun tidak perlu menjalani rawatan hemodialisis atau mendapatkan buah pinggang baharu.

“Sukar untuk saya ungkap perasaan ini... Bukan perkara main-main. Tawaran yang dibuat membabitkan organ dalaman yang sangat berharga.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana dikelilingi mereka yang baik hati seperti ini,” katanya kepada BH Online.

Ditanya identiti wanita berhati mulia itu, Ebby berkata:

“Saya mula berkenalan dengan wanita terbabit ketika dia datang memasang kemudahan WiFi di rumah saya.

“Ketika itu, saya belum sakit lagi. Tiba-tiba, seminggu sebelum Ramadan, dia melayangkan mesej dan bertanya mengenai jenis darah saya,” katanya.

Ebby berkata, selepas merujuk kepada doktor, dia dimaklumkan keadaan dirinya beransur baik dan terkawal.

“Doktor menjelaskan tahap kesihatan saya belum kronik sehingga perlu buah pinggang baharu... Alhamdulillah,” katanya.

Ebby atau nama sebenar, Muhammad Yunus Abdul Rashid bersyukur kesihatannya semakin stabil biarpun perlu menjalani rawatan berkala di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mengenai tawaran berlakon, Ebby berkata, dia hanya beraksi jika kesihatan mengizinkan.

Enggan menyusahkan kumpulan produksi, Ebby bersyukur banyak pihak masih memberi tawaran berlakon kepadanya.

“Tawaran masih ada, cuma saya harus memilih mengikut tahap kekuatan tubuh badan.

“Sekiranya watak itu tidak dapat dibawa disebabkan terbatas dengan masalah kesihatan, lebih baik ia diberi kepada mereka yang mempunyai kudrat.

“Saya pernah menjadi pengarah. Saya faham soal kepuasan apabila sesetengah watak itu tidak dapat dipenuhi seperti yang dibayangkan,” katanya.

Berita Harian X