Khamis, 23 Mei 2019 | 11:00am
PENYANYI dan pelakon, Azira Shafinaz, mungkin mendirikan rumah tangga dua tahun lagi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PENYANYI dan pelakon, Azira Shafinaz, mungkin mendirikan rumah tangga dua tahun lagi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Azira kembali ke pangkuan kekasih

KUALA LUMPUR: Genap enam bulan memutuskan hubungan, akhirnya penyanyi dan pelakon, Azira Shafinaz, 27, kembali ke pangkuan kekasih.

Katanya, sepanjang setengah tahun memilih haluan sendiri, mereka saling bermuhasabah hingga sepakat menyambung semula perhubungan.

“Perpisahan ini sebenarnya menguatkan lagi cinta kami, apatah lagi masing-masing berasakan semakin matang dalam menangani segala kemelut.

“Sepanjang tempoh perpisahan itu juga saya boleh nampak kesungguhannya untuk memulihkan keadaan dan memenangi hati saya semula.

“Tempoh enam tahun berkawan hingga mengenali hati budi membuatkan saya percaya terhadap kesungguhannya,” katanya selepas kempen Sempurna Seadanya Astro.

Tahun lalu, Azira dan ahli perniagaan, Yasser Khan, mengambil keputusan untuk berpisah selepas enam tahun bercinta.

Begitupun, mereka menafikan orang ketiga menjadi punca perpisahan, sebaliknya lebih kepada tiada lagi persefahaman dalam perhubungan.

Sementara itu, ditanya mengenai perancangan ke arah perkahwinan, akuinya, mereka pernah membincangkan perkara berkenaan, namun bukan dalam masa terdekat.

“Saya pernah mensasarkan ingin mendirikan rumah tangga pada usia 25 tahun, tetapi kerjaya seni saya sekarang sedang berkembang.

“Kesibukan dengan pelbagai projek membuatkan saya perlu memikirkan semula rancangan berkenaan. Mungkin dua tahun lagi saya bergelar isteri,” tambah anggota kumpulan De Fam itu.

Berita Harian X