Rabu, 22 Mei 2019 | 12:01pm
SITI menyifatkan Almarhum Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan berjiwa rakyat yang disenangi ramai. Foto IG Siti Nurhaliza
SITI menyifatkan Almarhum Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan berjiwa rakyat yang disenangi ramai. Foto IG Siti Nurhaliza

Almarhum Sultan berjiwa rakyat, disenangi ramai - Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menyifatkan, Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah sebagai Sultan yang berjiwa rakyat, mudah didampingi dan disenangi ramai.

Sebagai anak jati kelahiran Pahang, Siti turut berdukacita dengan berita kemangkatan Sultan Pahang kelima yang disifatkannya kental dengan aura positif.

“Sebagai rakyat yang berpeluang membuat persembahan di hadapan Almarhum Tuanku sejak di sekolah rendah, seterusnya menjadi artis adalah antara momen indah yang akan saya kenang.

“Banyak kenangan bermakna antara saya dan Almarhum yang akan saya ingat sampai bila-bila. Ketika saya membuat konsert di Royal Albert Hall, London, Almarhum Tuanku turut berkenan menyaksikannya.

“Sebelum ke sana, saya sempat mengadap Almarhum untuk menjemput baginda berangkat menonton konsert itu. Alhamdulillah, Almarhum memperkenankan jemputan saya,” kata anak kelahiran Kuala Lipis itu.

Siti turut merakamkan dan menyembah salam takziah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan seluruh kerabat diraja Pahang atas kemangkatan Almarhum.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Almarhum dan digolongkan dalam kalangan solihin,” kata penyanyi Anta Permana itu.

Almarhum menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada jam 8.50 pagi tadi.

Berita Harian X