Isnin, 20 Mei 2019 | 2:17pm
Roy enggan lagi mengambil remeh soal penyakit gastrik yang dihidapi selepas pengsan lalu dikejarkan ke hospital, kelmarin. - IG Roy Azman
Roy enggan lagi mengambil remeh soal penyakit gastrik yang dihidapi selepas pengsan lalu dikejarkan ke hospital, kelmarin. - IG Roy Azman

Diserang gastrik, Roy Azman tak ambil ringan lagi

KUALA LUMPUR: Dikejarkan ke hospital akibat pengsan, pelakon drama, Roy Azman bersyukur doktor mengesahkan dirinya bebas daripada penyakit jantung dan kencing manis.

Menyangka simptom serangan jantung, Roy mengaku cemas kemungkinan menghidap dua penyakit kronik itu, selepas tidak sedarkan diri lalu dibawa ke hospital, kelmarin.

Roy atau nama penuhnya, Zairosminan Abdul Rahman, memberitahu, doktor mengesahkan dia bebas daripada penyakit jantung dan kencing manis selepas membuat pemeriksaan.

“Alhamdulillah, doktor mengesahkan saya bebas daripada penyakit jantung dan kencing manis. Cuma saya ada gastrik.

“Lega rasanya apabila dimaklumkan saya tidak menghidap dua penyakit kronik itu.

“Saya disyaki pengsan kerana masalah gastrik... Ini tidak seharusnya dipandang remeh lagi. Saya perlu menjaga waktu makan sekarang,” katanya kepada BH Online.

Roy cukup dikenali melalui penampilannya dalam drama bersiri Roda-Roda Kuala Lumpur.

Roy turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menghantarnya ke hospital sejurus pengsan.

“Saya turut menghargai kehadiran rakan-rakan yang melawat dan tidak lupa kepada anda semua yang mendoakan kesihatan saya.

“Terima kasih banyak-banyak... Insya-Allah semuanya baik-baik saja,” katanya.

Rakaman video yang memaparkan perkembangan kesihatan bintang drama Tuan Anas Mikael itu mendapat perhatian apabila dikongsi beberapa selebriti tempatan.

Ramai peminat dan rakan artis memberikan kata-kata positif serta mendoakan kesejahteraan Roy.

Berita Harian X