Selasa, 7 Mei 2019 | 4:39pm
RADIN dimasukkan ke hospital, kelmarin kerana jangkitan paru-paru. Foto IG Radin
RADIN dimasukkan ke hospital, kelmarin kerana jangkitan paru-paru. Foto IG Radin

Radin sambut Ramadan di hospital

KUALA LUMPUR: Penyampai radio popular, Radin akur terpaksa menyambut kedatangan Ramadan di hospital berikutan masalah jangkitan paru-paru.

Radin atau nama sebenarnya, Radin Amir Effendi bagaimanapun, bersyukur keadaannya stabil, pada masa sama dinasihatkan supaya mempunyai rehat yang cukup.

“Saya anggap apa yang dilalui ini sebagai ujian kecil, tambahan pula saya jarang masuk hospital. Saya pada mulanya demam dan disahkan mengalami jangkitan pada darah.

“Selepas tiga kali membuat pemeriksaan dan melakukan ujian darah, saya dimaklumkan menghidap jangkitan paru-paru.

“Atas permintaan keluarga, saya dipindahkan ke pusat perubatan di Ipoh, Perak. Alhamdulillah, keadaan saya stabil dan masih dalam pemantauan doktor,” katanya.

Penyampai radio Era yang juga pemenang Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 itu berkata, ia adalah pengalaman pertamanya meraikan Ramadan di hospital.

“Lain sedikit ketibaan Ramadan kali ini kerana saya menyambutnya di hospital. Memang saya mahu berpuasa, tetapi doktor pula menasihatkan sebaliknya.

“Saya reda dengan ujian ini. Kebetulan, kebelakangan ini banyak tawaran kerja yang diterima untuk mengumpul duit raya. Mungkin bukan rezeki saya...,” katanya.

Radin dalam satu perkongsian di Instagram pada Ahad lalu memaklumkan, dirinya sedang menerima rawatan di hospital, namun tidak memperincikan masalah kesihatannya.

Berita Harian X