Isnin, 29 April 2019 | 5:49pm
SHUK berhasrat membawa keluarga menunaikan umrah dengan wang kemenangan selepas muncul juara Super Bintang Bersama Bintang 2019. Foto Faiz Anuar
SHUK berhasrat membawa keluarga menunaikan umrah dengan wang kemenangan selepas muncul juara Super Bintang Bersama Bintang 2019. Foto Faiz Anuar

Shuk tumpang rezeki anak kedua

KUALA LUMPUR: Pengacara yang juga penyampai radio Hot FM, Shuk menyifatkan kemenangannya pada pentas akhir, Super Bintang Bersama Bintang 2019 (Super BBB 2019), malam tadi sebagai menumpang rezeki anak keduanya yang bakal lahir pada Julai ini.

Shuk atau nama penuhnya, Mohammad Shukri Mohammed Sahar, 33, berkata, dia juga berhasrat membawa keluarganya menunaikan ibadah umrah dengan wang RM100,000 yang dimenangi pada program itu.

“Isteri sedang hamil enam bulan dan saya hanya menumpang rezeki anak kedua kami yang bakal lahir, tidak lama lagi. Sama sekali saya tidak menjangka akan meraih kemenangan ini dan sukar saya ungkapkan perasaan apabila diumumkan sebagai juara.

“Sejujurnya, saya tidak meletak harapan terlalu tinggi kerana saingan pada Super BBB 2019 hebat-hebat belaka. Debaran sudah saya rasai sejak sesi raptai penuh hingga saya langsung tidak mahu melihat persembahan bintang lain kerana bimbang mengganggu fokus di pentas.

“Kemenangan ini menjadi catatan terindah dalam portfolio kerjaya seni saya. Memandangkan ramai teman seperjuangan sudah menjejakkan kaki ke Tanah Suci, saya juga menyimpan impian sama. Saya berharap urusan membawa keluarga ke sana nanti dipermudahkan, insya-Allah,” katanya.

Tidak berhenti mengucapkan syukur atas kejayaannya itu, Shuk berkata, rezekinya semakin melimpah selepas mendirikan rumah tangga, tiga tahun lalu. Dia percaya, rezeki itu juga datang daripada doa isteri, Rossalennah Natassyiah Asshaferah dan anak sulungnya, Nur Qurratu Ain.

Pada malam kemuncak itu, Shuk mempersembahkan sketsa yang mengangkat drama rantaian popular, Nur 2 yang baru berakhir, minggu lalu, bergandingan dengan Jihan Muse.

“Sebenarnya, sejak musim pertama lagi, saya mahu beraksi dengan Jihan, tetapi hasrat itu tidak kesampaian kerana dia sedang berpantang. Apabila kembali bertanding, saya mempelawa Jihan sekali lagi dan bersyukur, dia menerimanya.

“Kami terus berbincang mengenai konsep yang ingin diangkat pada pentas akhir. Saya juga ingin memberikan penghargaan kepada Azhan Rani kerana sanggup mencuri masa untuk tampil bersama di atas pentas.

“Saya sebenarnya terkejut melihat dia begitu spontan membuat aksi jenaka menerusi lagu Elizabeth Tan. Alhamdulillah, penonton juga terhibur dengan tarian spontan Azhan itu,” katanya.

Shuk mengetepikan empat peserta lain termasuk Achey atau Mohd Nasir Hamzah, 33, yang diramalkan mempunyai peluang cerah untuk muncul sebagai juara.

Turut beraksi pada kemuncak Super BBB 2019 ialah Chiwan (Mohd Azwan Sabri), 33; Mamak Puteh (Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad), 34 dan Sharif Zero (Sharif Kadir Doli Sharif), 29.

Berita Harian X