Isnin, 29 April 2019 | 12:15pm
HISYAM bersyukur dikurniakan isteri yang memahami tanggungjawabnya sebagai pelakon. Foto IG Melrose Hanafi
HISYAM bersyukur dikurniakan isteri yang memahami tanggungjawabnya sebagai pelakon. Foto IG Melrose Hanafi

Hisyam jaga hati isteri

KUALA LUMPUR: Pelakon, Hisyam Hamid, 34, sentiasa mengingatkan diri supaya tidak mensia-siakan kepercayaan yang diberikan isterinya, malah berusaha untuk tidak mengguris hati insan yang disayanginya itu.

Lelaki kelahiran Singapura itu berkata, dia bertuah kerana isterinya, Melrose Hanafi atau Mel banyak membantu melicinkan perjalanan urusan kerjayanya, selain menjadi pengkritik utama setiap lakonannya.

“Setiap pelakon perlu bijak membezakan antara realiti dan kerja. Setiap karakter yang ditonton di skrin televisyen adalah amanah dan saya perlu melunaskannya dengan berkesan.

“Saya tahu, sebagai wanita, pasti ada perasaan cemburu apabila saya bergandingan dengan wanita lain, tetapi tidak sehingga mengganggu urusan saya di lokasi penggambaran. Jika hatinya terusik, sebagai suami, saya perlu bijak mencari jalan untuk memujuk.

“Saya akan jelaskan kepada Mel mengenai keperluan babak tertentu setiap kali kami menonton drama lakonan saya di rumah. Alhamdulillah, setakat ini, Mel faham dan tidak pernah pula dia meletak syarat atau menyenarai hitam pelakon tertentu kerana saya tahu batas sebagai suami,” katanya kepada BH Online.

Pelakon yang terkenal menerusi drama rantaian Ariana Rose, Abang Bomba I Love You dan Sayang Papa Saya Tak? itu berkata, Mel juga bertanggungjawab menguruskan jadual hariannya, malah sentiasa memastikan setiap keperluan kerjanya terjaga.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga sejak 13 tahun lalu itu dikurniakan dua cahaya mata, Nurish Syameliah dan Hayden.

Hisyam ditemui pada majlis pengumuman 220 bakat yang bernaung di bawah pengurusan Rocketfuel Entertainment. Mereka terdiri daripada pelakon, penyanyi, individu berpengaruh di media sosial dan bintang e-sukan.

Selain Hisyam, Rocketfuel Entertainment turut menguruskan kerjaya selebriti antaranya Lisa Surihani, Zizan Razak, Hael Husaini, Syamel, Ernie Zakri, Ara Johari, Aisyah Aziz dan Ummi Nazeera.

“Sebagai pelakon luar, ada beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi seperti permit dan beberapa hal lain. Ia menjadi lebih terurus apabila berada di bawah syarikat pengurusan.

“Sebarang keputusan mengenai tawaran berlakon dan sebagainya ditentukan bersama dengan pengurusan. Alhamdulillah, setakat ini, semua urusan berjalan lancar,” kata Hisyam.

Berita Harian X