X
Sabtu, 27 April 2019 | 1:53pm
PELAKON, Emma Maembong, memilih untuk bernaung di bawah syarikat LOL Entertainment bagi menguruskan kerjaya seninya. - Foto @blackpepperproduction
PELAKON, Emma Maembong, memilih untuk bernaung di bawah syarikat LOL Entertainment bagi menguruskan kerjaya seninya. - Foto @blackpepperproduction

Emma sertai syarikat urus Che Ta, Janna bulan depan

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa tahun selesa bergerak sendiri, pelakon, Emma Maembong, 27, memilih untuk berada di bawah syarikat pengurusan Laugh Out Loud (LOL) Entertainment, bermula Mei ini, bagi memacu kerjaya seninya.

Menurut Emma, dia terikat selama setahun bersama syarikat yang turut menguruskan kerjaya Rozita Che Wan (Che Ta), Janna Nick, Jihan Muse, Fikry Ibrahim, Liza Hanim dan Intan Sarafina itu.

“Sebelum ini, karier saya pernah diuruskan oleh sebuah syarikat pengurusan lain. Namun, pada satu tahap, saya berasa selesa untuk melakukannya sendiri, dengan pertolongan pembantu peribadi.

“Saya tentunya berharap kerjaya saya akan terus berkembang dan berjalan lancar bersama pihak pengurusan baharu.

“Lagipun, sekarang bukan masanya untuk main-main. Sebaliknya saya perlu berfikir panjang dalam segala perkara, terutama hal membabitkan masa depan,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan selain aktif di bidang seni.

Enggan membiarkan dirinya terkesan dengan segala kontroversi melanda diri, Emma berazam untuk terus memperkemaskan langkah di persada hiburan tanah air.

“Dunia seni memang sudah sebati dengan diri ini. Jadi, saya enggan mempersia-siakan setiap inci tuah dan ruang yang terbentang depan mata. Saya juga tidak mahu terus larut dalam apa juga kontroversi yang melanda, sebelum ini.

“Saya mahu bekerja keras memperkukuhkan nama dalam bidang saya cintai ini. Ketika ini pun, saya sedang melunaskan baki penggambaran drama Celup arahan Dira Abu Zahar. Dalam drama lapan episod ini, saya bergandingan dengan pelakon, Sean Lee,” katanya.

Berita Harian X