Khamis, 18 April 2019 | 5:57pm
ELYANA berharap konsert sulungnya memberi inspirasi kepada insan senasib untuk bangkit teruskan hidup. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ELYANA berharap konsert sulungnya memberi inspirasi kepada insan senasib untuk bangkit teruskan hidup. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Elyana anjur konsert bantu insan senasib

KUALA LUMPUR: “Saya baru selesai menjalani rawatan radioterapi, awal tahun ini. Sebelum ini, sel kanser sudah menyerang tulang belakang, menyebabkan saya tidak boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

“Pada awalnya, saya ingatkan mengalami masalah slip disc. Alhamdulillah, selepas menjalani radioterapi, saya mendapat semula semangat dan tidak mahu bertangguh lagi melunaskan konsert sulung ini,” kata Elyana.

Dia yang ditemui pada sidang media Elyana Jadi Diriku 19 Live In Concert, petang tadi berkata, konsert itu juga menjadi bukti kekuatannya untuk terus bertarung melawan kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya sejak tujuh tahun lalu.

Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal, 33, juga berharap, konsert itu dapat membuka mata mereka yang bertarung dengan penyakit kronik untuk berani bangkit meneruskan hidup.

“Sudah menjadi impian setiap penyanyi untuk mengadakan konsert dan secara jujur, saya tidak pernah sangka mampu bertahan hingga ke tahap ini.

“Sebagai pesakit kanser, saya pernah terfikir, kemungkinan besar apa yang saya cita-citakan ini tidak akan terjadi. Alhamdulillah, saya masih diberi Allah kekuatan, biarpun tidak seperti dulu.

“Saya juga mahu membuka mata mereka yang berperang dengan penyakit kronik supaya sedar, sakit bukan penamat, tetapi sebenarnya permulaan baharu dalam hidup kita,” katanya mengenai konsert yang akan berlangsung di Auditorium Bentley Music, Damansara pada 6 Julai ini.

Sanggup menangguhkan rawatan kemoterapi untuk membuat persiapan, Elyana bersyukur konsert itu mendapat kerjasama beberapa pihak dan sebahagian sumbangan akan disalurkan kepada pesakit kanser menerusi Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

Dia berharap, sumbangan kecil itu mampu membawa erti yang besar kepada insan senasib, selain sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seninya yang bermula pada 2002.

Tiket berharga RM139 (untuk 100 pembeli terawal), RM159 dan RM199 (meet and greet) boleh dibeli menerusi laman web: www.shopee.com.my atau aplikasi Shopee.

Berita Harian X