Jumaat, 12 April 2019 | 4:00pm
JIHAN mencetus persoalan apabila memuat naik foto dia menjalani rawatan MRI di sebuah pusat perubatan, Selasa lalu. Foto IG Jihan Muse
JIHAN mencetus persoalan apabila memuat naik foto dia menjalani rawatan MRI di sebuah pusat perubatan, Selasa lalu. Foto IG Jihan Muse

Pinggang terseliuh, Jihan disaran jalani fisioterapi

SHAH ALAM: Pengacara dan pelawak terkenal, Jihan Muse bersyukur apabila doktor mengesahkan, sakit pinggang yang dialaminya sejak kebelakangan ini disebabkan terseliuh, bukan kerana masalah lain.

Jihan berkata, perkara itu disahkan doktor selepas dia membuat pemeriksaan pengimejan resonans magnet (MRI) di sebuah pusat perubatan, Selasa lalu.

“Sakit pada bahagian pinggang itu sudah lama iaitu selepas saya melahirkan anak. Tetapi, saya biarkan saja sehingga pergerakan saya terbatas. Apabila sakit itu berlanjutan, saya cuma terfikir apakah saya mengalami slip disc.

“Tetapi, seingat saya, tidak pernah pula saya terjatuh. Disebabkan tidak tahan sakit, saya terus membuat pemeriksaan. Mujur doktor memaklumkan, kecederaan yang saya alami itu tidak serius.

“Saya dibekalkan doktor beberapa jenis ubat dan diminta berehat, selain disaran menjalani rawatan fisioterapi,” katanya kepada BH Online.

Bakat yang dicungkil menerusi program Raja Lawak itu berkata demikian ketika ditanya mengenai keadaan kesihatannya selepas memuat naik foto dia menjalani pemeriksaan MRI, Selasa lalu di Instagram.

Kata Jihan, dia memuat naik foto itu untuk memaklumkan kepada semua pihak, terutama mereka yang berurusan dengannya supaya tahu keadaan kesihatannya.

“Dalam tempoh seminggu ini, doktor memang suruh saya berehat. Cuma, ada beberapa kerja yang sudah dipersetujui awal dan tidak begitu memerlukan pergerakan yang banyak, saya akan lakukan.

“Saya tidak mahu, disebabkan merahsiakan keadaan kesihatan nanti keluar cerita tidak enak kononnya saya tidak memberi komitmen pada kerja yang sudah dipersetujui, sedangkan saya memang sakit,” katanya ketika ditemui pada acara Pertunjukan Fesyen Starvilion Balik Raya di Royale Palace, di sini, semalam.

Dalam keterangan gambar yang dimuat naik, isteri kepada pelakon Ungku Hariz itu turut mengharapkan doa semua pihak supaya dia tidak berdepan masalah kesihatan yang serius dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku.

Berita Harian X