Jumaat, 22 March 2019 | 11:30am
PENYANYI, Ezlynn, ketika memperkenalkan lagu terbarunya, Goyang, di The Gardens, Mid Valley City, baru-baru ini. - Foto Nik Hariff Hassan
PENYANYI, Ezlynn, ketika memperkenalkan lagu terbarunya, Goyang, di The Gardens, Mid Valley City, baru-baru ini. - Foto Nik Hariff Hassan

Suami rakan cuba dekati Ezlynn

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ezlynn, 37, mengaku suami kepada beberapa rakannya sendiri 'mencuba nasib' untuk mendekati dirinya.

Katanya, walaupun tidak menghantar mesej yang pelik, dia tahu perbualan berkenaan bakal mengundang padah jika dilayan.

"Memang ada suami kepada beberapa teman saya cuba memulakan perbualan dengan menghantar mesej.

"Walaupun sekadar mesej biasa, tetapi saya tahu jika dilayan, ia boleh membawa ke arah lain. Jadi, lebih baik saya elak.

“Sebagai wanita, tidak mungkin saya akan berhubung dengan suami kawan sendiri tanpa pengetahuan mereka,” katanya kepada BH Online.

Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kehidupannya sejak bercerai dengan bekas suami, Adam Fahmy, pada Oktober 2017.

Diusik dengan pertanyaan mengenai calon pengganti, kata Ezlynn, sehingga kini dia belum bertemu lelaki yang sesuai.

“Apatah lagi saya pernah melalui fasa perkahwinan, jadi saya perlu lebih berhati-hati dalam memilih pasangan.

"Setakat ini, saya berkawan dengan semua orang, namun tiada yang boleh dianggap serius.

"Saya sendiri enggan membuat pilihan sembarangan atau keluar dengan lelaki tak dikenali. Sekarang, ramai yang berperangai di luar jangkaan, jadi saya takut ada yang mengambil kesempatan,” katanya.

Tegas penyanyi yang baru sahaja muncul dengan single berjudul Goyang itu, dia lebih selesa keluar bersama lelaki yang tidak asing dengannya, seperti kawan lama atau rakan sekolah.

Berita Harian X