Isnin, 28 Januari 2019 | 9:02am
Baby Shima yang semakin popular di Indonesia, lebih selesa berbicara soal karier daripada mengulas mengenai kisah peribadi. Foto IG Baby Shima
Baby Shima yang semakin popular di Indonesia, lebih selesa berbicara soal karier daripada mengulas mengenai kisah peribadi. Foto IG Baby Shima

Baby Shima sorok status?

KUALA LUMPUR: Penyanyi mencipta nama di Indonesia, Baby Shima enggan mengulas isu peribadi sebaliknya hanya terbuka berbicara soal kerjaya nyanyian yang baru menyerlah.

Shima yang bernaung di bawah Nagaswara Music di Indonesia sejak dua tahun lalu bukan berniat mahu berahsia, tetapi mengharapkan ruang diberi terhadap kariernya sebagai penyanyi.

“Saya menyanyi sejak usia 20 tahun, tetapi bakat saya hanya dipandang selepas diberikan ruang bertapak di Indonesia pada 2017.

“Saya seperti mendapat talian hayat kedua selepas diterima peminat di seberang. Perjuangan di negara sendiri tidak membuahkan hasil yang baik biarpun ada dua lagu single, Tak Sabar dan Nombor Dua.

“Jadi, saya harap tumpuan diberi terhadap kerjaya... Bukannya isu peribadi,” katanya ketika diminta mengulas isu sorok status sebagai isteri kepada pengurus, Mohd Afrendie Affendy atau Andy yang disiarkan dalam Kolum Desas Desus sisipan B*POP, Sabtu lalu.

Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli berkata, dia pernah jatuh tersungkur sehingga terpaksa pulang ke kampung halaman di Johor Bahru kerana tiada kerja.

“Orang lain tidak tahu betapa susahnya hidup saya suatu ketika dulu. Kerjaya nyanyian hampir menyembah bumi disebabkan tiada lagi tawaran persembahan.

“Saya menumpang hidup dengan keluarga di kampung. Lebih menyedihkan, saya terpaksa mengorek duit tabung yang tidak seberapa untuk meneruskan hidup,” katanya yang popular menerusi lagu Main Mata, Jaran Ucul dan Makan Hati di Indonesia.

Bekas anak didik Edry Abdul Halim dan Adam AF itu berkata, dia tidak sanggup lagi berdepan dengan kesengsaraan hidup seperti dulu.

“Allah uji saya, tetapi hikmah di sebaliknya, saya diberikan nyawa kedua. Disebabkan itu, saya mahu membuktikan bakat dan tidak mahu tenggelam dengan kisah peribadi.

“Soal peribadi usahlah dipersoalkan kerana saya baru mahu bernafas,” katanya.

Berita Harian X