Ahad, 16 Disember 2018 | 1:20pm
SHIMA terharu menerima kunjungan teman artis iaitu Ameng; Bagio dan Nizam Laksamana di gerai jualannya. Foto Mohd Shahril Badri
SHIMA terharu menerima kunjungan teman artis iaitu Ameng; Bagio dan Nizam Laksamana di gerai jualannya. Foto Mohd Shahril Badri

Kenapa nak malu? Saya hanya cari rezeki - Shima

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 1990-an, Shima, 49, mengambil sikap tidak mengendahkan pandangan negatif segelintir masyarakat apabila memilih untuk membuka gerai perniagaan di tepi jalan.

Baginya, rezeki kurniaan Allah luas dan tiada apa yang perlu dimalukan kerana semua itu dilakukan untuk mencari sesuap nasi.

Penyanyi lagu Teringin, Luka Dilukai dan Aku Tetap Aku itu membuka Warung Teringin di hadapan kediamannya di Apartmen Lestari di Damansara Damai, di sini sejak 3 Disember lalu.

Shima berkata, dia sudah lali dengan hinaan dan cacian manusia sejak mula dikenali sebagai penyanyi lebih tiga dekad lalu.

“Saya tahu ada yang mengutuk dan mengata saya di belakang, maklum hanya membuka gerai di tepi jalan, itupun menumpang tapak peniaga lain.

“Apa nak buat, itu saja peluang yang ada ketika ini. Keadaan memaksa saya berniaga demi mencari sesuap rezeki.

“Kalau mengharapkan undangan persembahan, mungkin saya terpaksa ikat perut tidak makan kerana sejak beberapa tahun lalu, saya sudah jarang menerima undangan persembahan,” katanya.

Shima atau nama sebenarnya, Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman berkata, dia bersyukur walaupun dikutuk, rezekinya luas apabila jualannya laris.

“Sejak mula berniaga kira-kira dua minggu lalu, lauk-pauk yang dijual selalunya habis. Jika tidak habis, jadi saya sedekah pada orang lain.

“Berkat sedekah, selalunya keesokan hari jualan saya pasti habis. Saya mula berniaga jam 10 pagi dan hanya menyediakan makanan bungkus.

“Alhamdulillah, biasanya menjelang jam 12 tengah hari, jualan saya sudah habis,” katanya.

Shima berkata, dia terharu sejak berita mengenai perniagaannya tular, ada peminat yang sanggup datang dari jauh untuk merasai air tangannya.

“Ada di antara mereka yang datang turut membawa cakera padat album terdahulu untuk saya tanda tangan.

“Ada juga peminat yang datang untuk bergambar, saya tetap melayani mereka dengan mesra,” katanya yang menyediakan lebih 10 jenis menu masakan kampung setiap hari.

Berita Harian X