Selasa, 4 Disember 2018 | 3:01pm
AKIM masih menanti peluang untuk membawa watak utama. Foto: NSTP
AKIM masih menanti peluang untuk membawa watak utama. Foto: NSTP

Akim Nordin mengharap tuah Paskal

KUALA LUMPUR: Dua tahun memulakan langkah sebagai pelakon, Akim Nordin, 22, berharap kejayaan filem Paskal mampu memperkenalkan namanya kepada umum.

Kata anak jati Johor itu, biarpun belum diberi kepercayaan untuk memegang watak utama, pengalaman sebagai pelakon pembantu menambahkan ilmu dalam menghadapi situasi serba mencabar.

“Saya bermula sebagai pelakon iklan sejak dua tahun lalu. Bermula iklan makanan segera, seterusnya perkhidmatan telekomunikasi, saya mula jatuh cinta dengan dunia lakonan.

“Dari situ, saya berjinak-jinak membintangi drama untuk mencari pengalaman antaranya Red Velvet, Coffee Prince, Izinkan Aku dan beberapa judul lain.

“Mungkin pembabitan saya masih setahun jagung jika dibandingkan pelakon lain, namun peluang membawakan watak antagonis dalam Paskal bagi saya sangat istimewa,” katanya.

Berkongsi pengalaman terbabit dalam filem yang meraih kutipan melebihi RM30 juta, pemilik nama sebenar

Muhamad Hakim Nordin itu, memaklumkan segala-galanya bagai sebuah impian menjadi kenyataan.

“Saya memegang watak Pojie iaitu kuncu jahat yang cuba menyerang anggota Paskal di tengah laut, sekali gus memerlukan ketahanan mental yang tinggi.

“Tidak sangka, ramai yang mencuba nasib untuk watak itu, tetapi rezeki berpihak kepada saya. Banyak pengalaman baharu yang saya raih ketika membintangi filem itu.

“Watak Pojie membuatkan saya semakin cenderung untuk terus mencuba aksi lasak dan menajamkan lagi skil lakonan,” katanya yang turut membintangi filem epik, Cinta Romusha.

Berita Harian X