Khamis, 22 November 2018 | 7:14pm
NURINAFILAH Waharudin atau Awin - Foto MUNIRA ABDUL GHANI
NURINAFILAH Waharudin atau Awin - Foto MUNIRA ABDUL GHANI

'Hal suami, Forteen saya tak campur'

KUALA LUMPUR: Isteri merangkap pengurus pelakon dan penyanyi, Izzue Islam mendakwa anggota Forteen belum memberi maklum balas mengenai tawaran ‘job’ atau persembahan selepas suaminya keluar daripada kumpulan itu.

Mendakwa mesej diutus tidak berbalas, Nurinafilah Waharudin atau mesra disapa Awin pelik dengan sikap anggota kumpulan itu sedangkan sejak bersaing di pentas musim kelima Gegar Vaganza (GV5), dia tidak kisah membantu menguruskan Forteen.

“Ahli Forteen tahu saya enggan campur tangan dalam kemelut yang melanda suami dan mereka. Ini bagi mengelak timbul isu kepentingan peribadi kerana saya isteri Izzue.

“Sebenarnya, jika diikutkan, saya menguruskan keperluan Izzue saja ketika Forteen menyertai GV5. Namun, saya okay apabila mereka mahu saya membantu band berkenaan sepanjang lapan minggu bertanding.

“Jadi, selepas GV5 berakhir, semua tawaran persembahan diajukan terus kepada saya sehingga sekarang,” katanya kepada BH Online.

Awin mendakwa, dia menerima beberapa undangan membuat persembahan dan sudah menghubungi ahli kumpulan itu bagi mendapatkan pengesahan, semalam.

“Semalam saya hubungi mereka kerana ada tawaran lain, cuma nampaknya, belum ada balasan.

“Bagi saya, amanah membantu Forteen tetap dilaksanakan dan hal dalaman (kemelut band), biarlah mereka sendiri yang selesaikan,” katanya.

Awin berkata, selepas berbincang dengan Izzue, dia tidak berdepan masalah untuk terus bekerjasama dengan Forteen biarpun tanpa kehadiran suami.

“Ada yang bertanya sama ada Izzue berbincang dengan saya sebelum membuat pengumuman berundur... Memang keputusan itu dibuatnya sendiri.

“Sebagai pengurus, saya hanya boleh memberi pandangan. Saya faham situasi yang dilalui sekarang.

“Saya juga yakin Izzue mampu membuat pertimbangan waras tanpa dipengaruhi mana-mana pihak sebelum membuat keputusan,” katanya.

Selain Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 28, kumpulan vokal harmoni itu turut ditunjangi One, Ariz dan Amer.

Kemelut dalaman Forteen terbongkar selepas Izzue membuat pengumunan menerusi GV Live+ mahu berundur atas alasan tiada lagi persefahaman dengan anggota yang lain.

Berita Harian X