Selasa, 6 November 2018 | 4:22pm
SALEHA gusar menanti reaksi penonton terhadap lakonannya dalam Tujuh. - NSTP/Rohanis Shukri
SALEHA gusar menanti reaksi penonton terhadap lakonannya dalam Tujuh. - NSTP/Rohanis Shukri

'Cukuplah sekali, saya dah serik'

PETALING JAYA: Pelakon Siti Saleha meluahkan rasa bimbang menantikan reaksi penonton, termasuk suaminya gara-gara membawa watak lesbian dalam filem terbarunya, Tujuh.

Disebabkan terlalu bimbang, apatah lagi filem itu ditayangkan ketika isu LGBT sedang hangat diperkatakan, Saleha menegaskan, sedapat mungkin dia cuba mengelak daripada melakonkan karakter yang boleh mencetuskan kontroversi.

“Ketika menerima tawaran untuk membawa watak Tina, lima tahun lalu, saya tidak rasa apa-apa. Saya sebaliknya, menganggap ia sebagai cabaran kerana mahu mempelbagaikan watak.

“Tetapi apabila sudah bersuami dan kebetulan pula isu LGBT sedang hangat diperkatakan, saya jadi berdebar menantikan reaksi penonton.

“Secara jujur, saya sangat risau terutama memikirkan reaksi suami. Hati suami kenalah jaga. Selepas ini tiada lagi watak seperti itu. Cukuplah, watak Tina itu adalah yang pertama dan terakhir buat saya,” kata pelakon berusia 28 tahun itu.

Mengulas peranan yang dilakonkannya dalam filem itu, Saleha berkata, pengalaman digoda gadis bernafsu songsang ketika zaman persekolahan menjadi inspirasi untuk dia mendalami karakter itu.

“Saya belajar di sekolah yang kesemua pelajarnya adalah perempuan. Tidak dinafikan, saya pernah didekati golongan itu dan situasi itu sangat menakutkan,” kata pelakon drama bersiri, 7 Hari Mencintaiku ini.

Dalam filem bergenre seram itu, Tina digambarkan sebagai gadis yang menyimpan perasaan terhadap Yasmin, lakonan Cristina Suzanne.

Tujuh yang turut menampilkan pelakon seperti Johan As’ari, Faizal Hussein, Riz Amin, Aeril Zafrel, Pekin Ibrahim, Deede Nash, Marsha Milan Londoh dan Wan Hanafi Su bakal menemui penonton 8 November ini.

Berita Harian X