Isnin, 22 Oktober 2018 | 1:09am
AAISYAH dimasukkan ke sebuah hospital di Damansara, Petaling Jaya dipercayai akibat terkena jangkitan bakteria. - Foto Foto Aaisyah Dhia Rana
AAISYAH dimasukkan ke sebuah hospital di Damansara, Petaling Jaya dipercayai akibat terkena jangkitan bakteria. - Foto Foto Aaisyah Dhia Rana

'Doakan Aaisyah cepat sembuh okay'

KUALA LUMPUR: Selama empat tahun dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh, Aaisyah Dhia Rana iaitu puteri kesayangan pasangan Rozita Che Wan dan Zain Saidin, jarang jatuh sakit.

Bagaimanapun, sebentar tadi, Aaisyah dimasukkan ke sebuah hospital di Damansara, Petaling Jaya, selepas dipercayai terkena jangkitan kuman.

"Sudah seminggu Aaisyah demam. Kami difahamkan, ada bakteria dalam darahnya.

"Doktor terpaksa memasang tiub untuk memudahkan proses memasukkan ubat agar cepat sembuh,” kata Zain Saidin kepada BH Online.

Zain memaklumkan keadaan Aaisyah bagaimanapun stabil.

“Dia okay... InsyaAllah Aaisyah kuat,” katanya.

Sementara itu, Rozita memberitahu, anak perempuannya itu perlu berehat secukupnya.

"Tengok wajah dan keadaannya memang jadi kasihan. Ini kerana dia jarang ditimpa sakit apatah lagi dimasukkan ke hospital.

"Memang Aaisyah kena rehat," kata artis yang mesra disapa Che Ta itu.

Kisah Aaisyah dimasukkan ke hospital turut dikongsi melalui Instagram si cilik itu yang mempunyai lebih sejuta pengikut.

Keterangan pada entri itu berbunyi:

"Sudah nak dekat empat tahun, ini kali pertama Aaisyah demam dan dimasukkan ke hospital.

"Doakan Aaisyah cepat sembuh okay."

Berita Harian X