Ahad, 7 Oktober 2018 | 11:38pm
FATIMAH Omar Mukhlis. - Foto IHSAN KELUARGA OMAR MUKHLIS
FATIMAH Omar Mukhlis. - Foto IHSAN KELUARGA OMAR MUKHLIS

Personaliti cilik ungguli anugerah kategori online

PUTRAJAYA: Dua kanak-kanak comel muncul pemenang anugerah kategori online yang dipertandingkan pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.

Si cilik yang bijak berbahasa Inggeris dengan campuran dialek Kelantan, Fatimah Omar Mukhlis, 4, menewaskan semua calon lebih dewasa dan muncul pemenang bagi kategori Personaliti Media Sosial Popular.

Fatimah berjaya mencuri hati dengan keletah bersahajanya dalam klip video yang dimuat naik di laman Instagram @thefamily.uk.

Setiap muat naik dari Fatimah akan mendapat purata lebih 100,000 tanda suka.

Cucu kepada penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Arif Jiwa, 2, muncul pemenang Instafamous Cilik Popular iaitu anugerah yang julung kali diperkenalkan pada ABPBH.

Sementara itu, Pasangan Serasi Drama dimenangi oleh pasangan suami isteri, Fattah Amin dan Nur Fazura menerusi drama Hero Seorang Cinderella.

Pasangan Serasi Filem pula dimenangi oleh Zul Ariffin dan Nur Fazura hasil gandingan menjadi mereka dalam filem J Revolusi.

Neelofa yang disapa beberapa kontroversi tahun lalu dipilih netizen sebagai pemenang anugerah Artis Sensasi Popular.

Berita Harian X