X
Khamis, 30 Ogos 2018 | 9:50am
MIRA menafikan bakal mengakhiri zaman gadisnya dalam masa terdekat. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
MIRA menafikan bakal mengakhiri zaman gadisnya dalam masa terdekat. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

'Kami belum nak kahwin...'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Mira Filzah menyifatkan, gosip menyatakan dia dan bintang komedi popular, Zizan Razak sedang membuat persiapan untuk melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat sebagai tidak berasas.

Mengakui masih berkawan rapat dengan Zizan, Mira, 25, menegaskan, mereka belum mempunyai sebarang perancangan untuk mengakhiri zaman solo kerana mahu terlebih dulu menumpukan perhatian kepada kerjaya.

"Kami mahu tenang-tenang dulu. Ada juga orang bertanya mengenai perkara itu, tetapi kami belum ada sebarang perancangan ke arah perkahwinan," kata Mira ketika ditemui pada majlis perlantikannya sebagai duta kempen Salam Taiwan.

Menyifatkan jejaka kelahiran Dungun, Terengganu itu sebagai jejaka yang mudah didekati, Mira bagaimanapun, tidak cerewet meletakkan kriteria dan syarat tertentu dalam mencari pasangan hidup.

Baginya, memadai jika dipertemukan dengan lelaki yang ikhlas dan telus kerana perkahwinan menuntut kematangan serta toleransi antara kedua-dua pihak.

“Saya selesa berkawan dengan Zizan kerana dia mempunyai ciri-ciri itu. Biarpun gemar berjenaka, ada masanya dia sangat serius dan itu yang membuatkan saya senang mendekatinya,” kata pelakon Rahsia Hati Perempuan itu.

Dalam perkembangan lain, Mira berkata, dia kini sibuk menjalani penggambaran drama, Lelaki Kiriman Tuhan di Alor Setar, Kedah.

Selain itu, dia juga bakal menjayakan drama bersiri, Pujaan Hati Kanda pada Oktober ini untuk siaran slot Akasia di TV3.

Lebih mengujakan, filem pertama lakonannya, Rise: Inikalilah juga dijadualkan menemui penonton pada bulan depan.

"Teruja juga menanti melihat reaksi peminat terhadap lakonan sulung saya dalam filem. Walaupun sedikit gusar, terutama kerana filem ini memaparkan kisah benar, saya yakin penonton akan terhibur dan mendapat pengajaran daripadanya," katanya.

Berita Harian X