Isnin, 6 Ogos 2018 | 1:50pm
KAKA selesa bersendirian tanpa kekasih. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
KAKA selesa bersendirian tanpa kekasih. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Kaka penat jaga hati orang

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Kaka Azraff mengakui, semakin selesa bersendirian kerana bebas mencorakkan langkahnya dalam kerjaya muzik, tanpa perlu menjaga hati orang lain.

Tidak menafikan sesekali terdetik di hati apabila masih belum bertemu jodoh, Kaka, 29, akur tidak adil kepada pasangannya apabila terpaksa bersendirian kerana dia tidak punya banyak masa untuk diluangkan.

"Melihat rakan sebaya bahagia dengan pasangan mereka, terdetik juga keinginan untuk ke jenjang pelamin. Saya masih lagi mencari lelaki yang memahami dan menerima saya yang sentiasa sibuk dengan kerjaya.

"Tidak adil rasanya kepada pasangan sekiranya saya sibuk dengan urusan sendiri. Buat masa ini, lebih baik saya fokuskan kepada kerjaya. Lebih seronok begini kerana saya bebas bekerja apabila tiada hati yang perlu dijaga.

"Secara jujur, saya sudah penat menjaga hati orang lain. Untuk sementara waktu, lebih baik saya bangunkan kerjaya sendiri, apatah lagi, jadual saya semakin padat sejak muncul dengan single baharu, Sibuk," katanya.

Pada masa sama, Kaka bersyukur pendiriannya itu dihormati keluarganya. Atas alasan itu, anak saudara kepada Ratu Rock, Ella tidak mahu terkejar-kejar menamatkan zaman bujang, meskipun persoalan itu kerap diajukan kepadanya.

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff berkata, kemunculan Sibuk juga memberi isyarat dia lebih serius melakar nama sebagai penyanyi.

Bakal muncul dengan album sulung awal tahun depan, Sibuk katanya, menjadi penanda aras muzik yang ingin diketengahkan dalam produksi itu nanti.

"Sebelum ini, saya pernah muncul dengan lagu Terima Kasih dan Bukan Hal Aku, tetapi Sibuk lebih mengetengahkan muzik yang mencerminkan identiti sebenar diri. Saya mahu peminat mengenali Kaka Azraff menerusi identiti muzik ini," katanya.

Kaka berkata, dia menyimpan harapan untuk membawa Sibuk ke negara lain memandangkan lagu itu turut mendapat sambutan positif peminat di Indonesia dan Filipina.

"Saya mahu melangkah jauh dalam industri muzik. Tidak hanya dikenali di negara sendiri, saya juga mahu melihat lagu saya mendapat tempat di negara asing. Saya berusaha keras untuk meletakkan diri ke tahap itu.

"Melihat kepada sambutan di Indonesia dan Filipina yang agak positif, saya berharap usaha dapat dibuat untuk mempromosikan lagu saya di sana nanti," katanya.

Berita Harian X