Jumaat, 27 Julai 2018 | 2:21pm
NIENA dibenci penonton gara-gara watak Husna. Foto Nur Adibah Ahmad Izam
NIENA dibenci penonton gara-gara watak Husna. Foto Nur Adibah Ahmad Izam

'Benci Husna, bukan Niena'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zahirah MacWilson mengakui, bersimpati dan kasihan dengan gandingannya dalam drama, Jangan Benci Cintaku, Niena Baharun yang dibenci penonton gara-gara melakonkan watak antagonis.

Zahirah yang memegang watak Fika berkata, ramai membenci karakter Husna lakonan Niena hingga pelakon yang sedang hamil anak sulung itu turut merasai tempias kemarahan mereka.

Bimbang dengan obsesi peminat terhadap drama itu, Zahirah berkata, dia menghubungi Niena setiap minggu untuk memastikan emosi pelakon itu tidak terganggu.

"Risau juga kerana ramai penonton yang geram dengan watak Husna hingga Niena turut menjadi mangsa kebencian mereka. Memikirkan dia sedang berbadan dua, saya bimbang perkara itu mengganggu emosinya.

"Syukur dia baik-baik sahaja, malah cemuhan peminat tidak sedikit pun membuat dia terganggu," kata Zahirah ketika ditemui pada majlis perlantikan sebagai duta produk kecantikan, Meeracle, semalam.

ZAHIRAH simpati dengan Niena yang menjadi mangsa kebencian penonton. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ZAHIRAH simpati dengan Niena yang menjadi mangsa kebencian penonton. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Memohon penonton setia drama itu tidak terbawa-bawa dengan emosi mereka, Zahirah berkata, dia kagum melihat keberanian Niena menghidupkan karakter Husna dengan begitu berkesan.

Ditambah dengan penampilannya yang bertudung, lakonan Niena sebagai perampas suami orang meninggalkan kesan mendalam kepada penonton. Drama yang menghiasi slot Akasia di TV3 itu turut menampilkan Saharul Ridzwan sebagai teraju.

"Niena berani mencabar dirinya, malah sanggup mengambil risiko dibenci peminat. Jika watak itu diserahkan kepada saya, belum tentu saya mampu membawanya dengan baik.

"Saya memang mengelak daripada membawa watak antagonis kerana tidak suka dibenci peminat," katanya.

Berita Harian X