Sabtu, 21 Julai 2018 | 7:49pm
WAJAH terbaru pelakon era 1980-an, Sabree Fadzil yang dikongsi di Instagram. - Foto IG Sabree Fadzil
WAJAH terbaru pelakon era 1980-an, Sabree Fadzil yang dikongsi di Instagram. - Foto IG Sabree Fadzil

Sabree Fadzil belum tutup pintu hati

KUALA LUMPUR: Pelakon yang popular menerusi filem Wira Angkasa, Sabree Fadzil mengaku tidak sunyi bersendirian selepas enam perkahwinannya berakhir dengan perpisahan, sebaliknya tetap ceria ditemani anaknya.

Sabree yang mengecapi populariti ketika era 1980-an memberitahu, pada usia 55 tahun, tiada perkara lain yang lebih bermakna dalam hidupnya, selain melihat kebahagiaan anak kesayangan.

"Mungkin saya kurang bernasib baik dalam perkahwinan, tetapi itu bukan bermakna saya tidak bahagia. Alhamdulillah, anak saya juga sudah besar, malah ada yang bertemu jodoh.

"Tahun lalu, saya menerima menantu apabila anak ketiga, Nadia Yasliza mendirikan rumah tangga dengan anak Datuk M Nasir, Mohd Hidayat. Sebagai bapa, saya gembira melihat anak hidup bahagia," katanya kepada BH Online.

Tidak pernah menutup pintu hati untuk kembali berumah tangga, Sabree akur, tidak semua wanita dapat menerima rutin kerjanya sebagai anak seni yang tidak menentu.

SABREE dan bekas isteri pada majlis perkahwinan anak ketiga, Nadia dengan anak Datuk M Nasir, Mohd Hidayat. - Foto IG Sabree Fadzil
SABREE dan bekas isteri pada majlis perkahwinan anak ketiga, Nadia dengan anak Datuk M Nasir, Mohd Hidayat. - Foto IG Sabree Fadzil

"Mungkin lebih mudah jika saya bekerja di pejabat kerana jadual kerja tetap. Kerja anak seni ini tidak menentu masa, tidak semua faham kerjaya kami," katanya.

Sabree pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aznah Hamid, namun berpisah pada 1992. Kali terakhir, Sabree bertemu jodoh dengan ahli perniagaan, Habibah Hassan pada 2015, tetapi bercerai setahun kemudian.

Sepanjang mencipta nama, Sabree pernah membintangi deretan filem pecah panggung antaranya Sayang, Antara Dua Hati, Bayangan Maut, Operasi Cegah Jenayah, Balada, Sengketa Cinta, Wira Angkasa dan Pelumba Malam.

Sabree juga pernah menghiasi filem usaha sama Malaysia-Indonesia antaranya Pendekar Lembah Kuning, Pernikahan Berdarah dan Sumpahan Pocong.

Sabree yang turut menduduki kerusi sutradara pernah mengarahkan filem antaranya Sengketa Cinta, Datin Ghairah dan Tokak, selain lebih 50 drama.

Berita Harian X