Rabu, 4 Julai 2018 | 9:36am
AMMAR sedia kembali aktif di lokasi penggambaran. - Foto Zunnur Al Shafiq
AMMAR sedia kembali aktif di lokasi penggambaran. - Foto Zunnur Al Shafiq

Ammar tak mimpi jadi hero

KUALA LUMPUR: Ketika kebanyakan pelakon memburu ruang untuk membawa watak utama, Ammar pula tidak kisah diserahkan peranan sampingan asalkan kemunculannya meninggalkan impak kepada penonton.

Ammar atau nama penuhnya, Azizul Ammar Abu Hassan berkata, dia tidak pernah terfikir atau berangan-angan untuk menjadi hero kerana percaya watak sampingan juga membantu menghidupkan perjalanan sesebuah produksi.

"Saya masih ingat pelakon senior, Eman Manan pernah berkata, dia kesal apabila terus mengambil tawaran sebagai hero ketika mula berlakon. Sejak itu, katanya susah untuk dia meneroka sisi lain dalam lakonan.

"Kalau anda perasan, kemunculan hero silih berganti, tetapi tidak pelakon pembantu. Mereka banyak menyokong perjalanan karya yang dihasilkan. Sebagai contoh, kemunculan Noorkhiriah dalam drama Nur.

"Biarpun hanya watak pembantu, lakonannya memberi impak yang sangat kuat pada penonton sehingga menjadi bualan ramai," katanya.

Lebih setahun tidak berlakon, Ammar yang juga penyampai radio Hot FM berkata, dia sudah bersedia untuk kembali aktif memenuhi tawaran membintangi drama dan filem selepas memberikan fokus penuh kepada kerja di konti.

Ammar berkata, peluang membintangi telefilem Saya Jual Yer Bang bersama Zizan Razak dan Uqasha Senrose menjadi titik permulaan untuk dia kembali memberikan fokus kepada lakonan.

"Saya mahu berlakon semula kerana sudah terlalu rindu. Ketika belajar dahulu, saya mengambil jurusan seni lakon di Universiti Sains Malaysia (USM), jadi jiwa sudah sebati dengan dunia itu.

"Sebelum ini, ada sedikit kekangan memandangkan saya baru memulakan langkah sebagai penyampai radio. Alhamdulillah, saya sudah semakin selesa dengan tanggungjawab di konti, jadi memudahkan saya untuk menyusun jadual jika terikat dengan penggambaran nanti," katanya.

Berita Harian X