Sabtu, 23 Jun 2018 | 3:53pm
PELAKON, Scha Alyahya, pada sesi ramah mesra hari raya bersama bintang Bikin Filem di The Strand, Kota Damansara. - Foto Aswadi Alias
PELAKON, Scha Alyahya, pada sesi ramah mesra hari raya bersama bintang Bikin Filem di The Strand, Kota Damansara. - Foto Aswadi Alias

Nyaris tutup ruangan komen gara-gara rambut

PETALING JAYA: Pelakon, Scha Alyahya, nyaris menutup ruangan komen di laman Instagram kerana enggan melayan kata-kata negatif netizen yang mengecam potongan rambutnya.

Hasrat berkenaan bagaimanapun dilupakan apabila suaminya, Awal Ashaari, menasihati beliau supaya melihat kritikan negatif terbabit dari sudut positif.

"Pada mulanya saya enggan melayan komen negatif dilemparkan netizen mengenai potongan rambut pendek saya ini. Begitupun, selepas melihat mereka bergaduh sesama sendiri di ruangan komen, timbul hasrat untuk menutup saja ruangan terbabit supaya perbalahan tidak berlanjutan.

"Hasrat saya itu bagaimanapun mendapat tentangan suami. Katanya, tidak perlu sampai menutup ruangan komen kerana netizen hanya memperkatakan soal rambut, bukannya membabitkan perangai atau kelakuan saya.

"Sekurang-kurangnya, ada juga sesuatu mengenai saya yang menarik perhatian netizen untuk memperkatakannya," ujar Scha kepada BH Online ketika ditemui pada majlis pelancaran Bikin Filem, di sini.

Menurut bintang Aku Bukan Tomboi ini, beliau sebenarnya bersikap terbuka dalam soal kritikan ramai, namun berharap ia tidak melampau batas.

"Saya tidak kisah kalau netizen mahu mengecam rambut saya, cuma jangan sampai mereka menyentuh perihal anak saya, Lara Alana.

"Jika perkara sebegitu berlaku, memang saya akan balas balik apa yang mereka katakan itu," tegas pelakon berusia 35 tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Scha menafikan dirinya dibayar mahal apabila nekad memotong rambut hanya untuk tampil berbeza dalam filem terbaru lakonannya itu.

"Bayaran saya sama saja dengan pelakon lain. Selain mahu tampil berbeza dalam filem, saya juga memotong rambut atas kehendak sendiri.

"Sudah lama rasanya saya tidak menggayakan rambut pendek. Kali terakhir saya berbuat begitu sewaktu melahirkan Lara, hampir empat tahun lalu," kata Scha.

Berita Harian X