X
Selasa, 12 Jun 2018 | 11:43am
RAMLAH kembali langsing selepas hilang 20 kilogram. - Foto Zulfadhli Zulkifli
RAMLAH kembali langsing selepas hilang 20 kilogram. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Ramlah serik susuk tubuh berisi dipersenda

PETALING JAYA: Pernah dipersenda teman hanya kerana mempunyai tubuh yang berisi menguatkan lagi semangat penyanyi bertubuh kecil molek, Ramlah Ram untuk menurunkan berat badan dengan mengamalkan diet yang ketat.

Tidak hanya menjaga pemakanan, penyanyi yang popular menerusi lagu Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu) itu turut menggunakan kaedah psikologi dengan menjadikan baju lama yang pernah dipakai 10 tahun lalu sebagai motivasi untuk kembali langsing.

"Selain faktor kesihatan, Ramlah menguruskan badan untuk menjaga penampilan kerana tidak tahan dengan kata sinis teman yang tidak sensitif. Ada kawan yang suka mempersenda bentuk tubuh apabila melihat Ramlah berisi.

"Ketika itu, Ramlah sedih sangat. Kebetulan, Ramlah masih menyimpan baju lama yang dibeli 10 tahun lalu. Ramlah ambil baju itu dan memberitahu diri, suatu hari nanti Ramlah pasti dapat menyarungnya semula.

"Alhamdulillah, semua baju itu Ramlah sudah boleh gayakan kembali," kata penyanyi berusia 53 tahun itu kepada BH Online.

Mula mengamalkan diet dengan menjaga pemakanan berdasarkan nasihat pakar, tubuh Ramlah semakin susut dan berat badannya turun 20 kilogram.

"Sebelum ini, berat Ramlah pernah mencecah 70 kilogram. Selepas mengamalkan pengambilan makanan rebus tanpa minyak dan bergula, hasilnya sangat memuaskan hati.

"Memang seksa kerana sukar untuk kawal selera, apatah lagi Ramlah sudah terbiasa dengan makanan yang bertumis," katanya yang menerima pujian ramai dengan penampilan terbarunya ketika menyerikan majlis pelancaran album Nada Seni - Gema Lebaran Legenda, baru-baru ini.

Berita Harian X